PETALING JAYA: UOB meluaskan tawaran runcit di ASEAN melalui kerjasama eksklusif dengan jenama terkemuka termasuk Singapore Airlines, The MICHELIN Guide, Club21 dan Shopee.
Menurut UOB, perkongsian itu sejajar dengan matlamatnya membina masa depan ASEAN, menyediakan perkhidmatan dan menghubungkan lebih tujuh juta pelanggan merentasi rantau itu apabila pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam selesai.
Selain itu katanya, perkongsian berkenaan memperteguh kedudukan mantap UOB di ASEAN, dengan jumlah pengebilan Bank sepanjang tahun sehingga kini di rantau ini meningkat hampir 30 peratus tahun ke tahun pada September 2022 berikutan pembukaan semula sempadan di rantau ini.
“Peningkatan ini adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding jumlah sebelum Covid pada 2019. Jumlah pengebilan rentas sempadan UOB sepanjang tahun sehingga kini juga menyaksikan pertumbuhan lebih 80 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.
“Memandangkan unjuran bahawa kira-kira 430 juta lebih penumpang akan melakukan perjalanan ke Asia Pasifik tahun ini berbanding 2021, UOB berada pada kedudukan yang baik melalui perkongsian ini untuk memanfaatkan prospek pengembaraan yang kembali rancak di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkongsian itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Kumpulan UOB, Jacquelyn Tan berkata, setiap pelanggan adalah unik, dan di UOB, Kumpulan sentiasa menambahkan kepada katalog tawaran dan ganjaran untuk memastikan terdapat banyak pilihan untuk setiap gaya hidup, minat dan keperluan.
Kata beliau, UOB berbesar hati dan teruja dengan jenama terkemuka yang bakal menyertai Bank dan keistimewaan eksklusif yang mereka akan sediakan kepada pelanggan UOB di rantau ini.
“Rakan kongsi kami berkongsi cita-cita kami untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna yang menetap dan juga saling berhubung dalam ASEAN. Inilah cara kami membezakan diri sebagai bank serantau yang sebenar, di mana sempadan geografi tidak menghalang kami menyediakan ganjaran terbaik kepada pemegang kad di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, pihaknya tidak sabar mengembangkan perkongsian dengan jenama serantau ini bagi memastikannya terus menyediakan rangkaian tawaran serantau dan tempatan yang mantap dan relevan kepada pemegang kad.
Katanya, ia termasuk pemegang kad Citi, yang baru-baru ini telah berpindah ke UOB berikutan selesainya pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citi.
“Semua pemegang kad kami juga boleh mengharapkan lebih banyak manfaat dan rangkaian keistimewaan yang lebih luas, selain program penebusan ganjaran yang dipertingkatkan apabila kami memanfaatkan ekosistem rakan kongsi kami yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN










