PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai (PAT) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2022 susut sebanyak 4.3 peratus kepada RM2.75 bilion daripada RM2.87 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ia disumbangkan terutamanya oleh kerugian pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi, kos kewangan dan perbelanjaan cukai termasuk Cukai Makmur untuk tahun kewangan 2022.
Menurut TNB, hasil Kumpulan tanpa pemulihan kos bagi Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh itu meningkat 6.6 peratus kepada RM37.95 bilion daripada RM35.59 bilion, disumbangkan oleh peningkatan dalam jualan elektrik TNB dalam semua sektor.
Jelasnya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dilaporkan lebih tinggi pada RM16.31 bilion berbanding RM14.39 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Margin EBITDA (tanpa pemulihan kos ICPT) pula meningkat kepada 43 peratus daripada 40.4 peratus tahun lepas, mencerminkan peningkatan dalam prestasi operasi TNB.
“Di sebalik persekitaran kos harga bahan api yang tinggi semasa, mekanisme ICPT di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) membolehkan TNB kekal neutral kerana ia membolehkan kumpulan melalui sebarang variasi dalam kos penjanaan dalam bentuk rebat atau surcaj,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kekurangan pemulihan ICPT bagi tempoh dikaji telah melonjak kepada RM15.92 bilion daripada RM1.30 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan persekitaran harga bahan api semasa yang tinggi.
“Bagi tempoh pemulihan ICPT dari Julai hingga Disember 2022, kerajaan telah bersetuju untuk membayar balik TNB kos ICPT berjumlah RM5.8 bilion.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami telah menerima sehingga kini sejumlah RM4.8 bilion pemulihan kos ICPT bagi tuntutan Julai hingga November 2022 daripada kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, dalam menyokong inisiatif peralihan tenaga kami, TNB sedang mempercepatkan usahanya dengan memberhentikan loji arang batu terpilih lebih awal daripada dirancang dan memperkasakan semula loji janakuasa fosil dengan teknologi hijau baharu.
“Pada Ogos, kami mengumumkan hasrat kami untuk bekerjasama dengan Petronas dalam kajian kebolehlaksanaan bersama dalam bidang Penangkapan Hidrogen dan Karbon dengan tujuan untuk membuka kunci nilai komersial sekurang-kurangnya RM10 bilion sehingga 2035.
“Selain itu, kami juga telah menerima Surat Hasrat (LoI) daripada kerajaan untuk pembangunan Loji Janakuasa Kitaran Gabungan 2,100 MW di Kapar, Selangor. Loji janakuasa yang menggunakan gas baharu akan dibangunkan dengan teknologi hidrogen masa hadapan sebagai bahan api ganti kepada gas,” ujarnya.
Beliau menambah, TNB akan memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai pengeluaran hidrogen hijau dengan elektroliser yang lebih cekap yang bertujuan untuk mengurangkan kos tenaga yang diratakan untuk hidrogen hijau.
“Bagi Kenderaan Elektrik (EV), sebagai pemboleh utama dalam membina ekosistem di Malaysia, TNB komited untuk memastikan infrastrukturnya, yang merentasi seluruh Semenanjung Malaysia.
“Kami telah berjanji untuk memasang Pengecas Cepat DC di sepanjang lebuh raya kami untuk menangani pelbagai kebimbangan. Bagaimanapun, jumlah EV di Malaysia hanya boleh meningkat apabila model mampu milik boleh ditawarkan kepada orang ramai,” ujarnya. – UTUSAN










