PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Zakat (PAT) sebanyak RM177.6 juta untuk tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2022, susut 38.8 peratus daripada RM290.3 juta yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan dalam PAT disebabkan oleh hasil operasi yang lebih rendah sebanyak 24.6 peratus kepada RM445.2 juta daripada RM590 juta pada tempoh sama 2021, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam hasil dagangan sekuriti.
Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi menyaksikan peningkatan marginal 0.7 peratus kepada RM214.7 juta pada tempoh dikaji berbanding RM213.2 juta pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, situasi global dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi terus mencabar perniagaan pasaran sekuriti Bursa Malaysia.
“Peningkatan dalam prestasi pasaran derivatif serta perniagaan data pasaran telah membantu menyumbang kepada angka keuntungan kami dalam tempoh kewangan ini.
“Kami akan terus memastikan Bursa berinovasi dan kekal tangkas untuk menjana jumlah yang meningkat sekali gus menyumbang kepada aliran hasil yang lebih tinggi dalam semua segmen perniagaan kami dalam iklim pelaburan ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh tinjauan juga, Pasaran Sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM203 juta, penurunan sebanyak 43.6 peratus berbanding RM359.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Ini disebabkan oleh Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) yang lebih rendah untuk Dagangan Dalam Pasaran Pasaran Sekuriti (OMT) dan Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) pada tempoh dikaji sebanyak RM2.2 bilion berbanding RM4 bilion pada tahun lalu.
Halaju dagangan pada sembilan bulan 2022 lebih rendah sebanyak 24 mata peratusan kepada 30 peratus berbanding 54 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Mengenai penyenaraian baharu, dana yang diperoleh melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) pada sembilan bulan pertama tahun ini berjumlah RM2.8 bilion, lebih tinggi daripada RM2.3 bilion yang diperoleh pada 2021.
Jumlah hasil dagangan derivatif meningkat 11.5 peratus kepada RM73.4 juta setakat September ini daripada RM65.8 juta pada 2021, disumbangkan oleh pendapatan pengurusan cagaran yang lebih tinggi serta bilangan Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures yang lebih tinggi (FKLI). – UTUSAN










