PETALING JAYA: Untung bersih RHB Bank Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 meningkat kepada RM700.48 juta daripada RM635.59 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Hasil pula meningkat kepada RM3.48 bilion pada suku dikaji daripada RM3.03 bilion sebelumnya.
Bagaimanapun, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih RHB Bank susut kepada RM1.94 bilion daripada RM1.99 bilion sebelumnya.
Sementara itu, perolehan meningkat kepada RM9.33 bilion daripada RM8.86 bilion dalam tempoh yang sama 2021.
Menurut RHB Bank, keuntungan bersih suku ketiga 2022 yang lebih tinggi dipacu pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi, tidak mengalami kerugian pengubahsuaian (ML) dan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah (ECL).
“Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat kepada RM4.66 bilion didorong oleh pendapatan berasaskan dana kasar lebih tinggi yang melonjak 11.6 peratus tahun ke tahun disokong oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 7.8 peratus dengan margin faedah bersih (NIM) untuk suku itu pada 2.27 peratus daripada 2.23 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, pendapatan bukan berasaskan dana merosot kepada RM1.38 bilion terutamanya daripada pendapatan yuran keseluruhan yang lebih rendah, lebihan pengunderaitan insurans dan pendapatan dagangan dan pelaburan bersih,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, ECL dikurangkan kepada RM384.8 juta daripada ECL lebih rendah atas pinjaman manakala hutang lapuk yang lebih tinggi dapat dipulihkan.
Seiring dengan itu nisbah caj kredit tahunan meningkat kepada 0.24 peratus berbanding 0.45 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Rashid Mohamad berkata, Kumpulan kekal berdaya tahan dan terus memberikan prestasi yang membanggakan bagi sembilan bulan berakhir September 2022 walaupun dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
“Kami sedar beberapa pelanggan kami masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik dan justeru RHB Bank akan terus memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada golongan mudah terjejas dalam komuniti.
“Melangkah ke hadapan, strategi Together We Progress (TWP24) Kumpulan akan terus membimbing bank ke arah mencapai pertumbuhan berkualiti dan memacu kecemerlangan perkhidmatan merentas semua saluran penyampaian disokong oleh pelan digitalnya yang mantap,” katanya.
Jumlah aset Kumpulan meningkat 5.8 peratus dari Disember 2021 kepada RM306.4 bilion pada 30 September 2022 dan kedudukan modal kekal kukuh dengan Ekuiti Biasa Tahap-1 (CET-1) dan jumlah nisbah modal Kumpulan masing-masing berada pada 16.4 peratus dan 18.8 peratus.
Setakat ini, pinjaman dan pembiayaan kasar Kumpulan meningkat 5.7 peratus kepada RM209.7 bilion, kebanyakannya disokong oleh pertumbuhan dalam gadai janji, kewangan kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial, Singapura dan Kemboja, manakala pinjaman domestik dan pembiayaan meningkat 4.3 peratus. – UTUSAN










