PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Bhd mencatatkan penyusutan untung bersih sebanyak 8.2 peratus kepada RM158.42 juta atau 10.23 sen sesaham pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (S2TK2022), berbanding RM172.74 juta atau 11.16 sen sesaham bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Penyusutan tersebut disebabkan oleh elaun yang lebih tinggi untuk jangkaan kerugian kredit.
Sementara itu, hasil bank meningkat 6 peratus kepada RM480.57 juta pada suku yang sama daripada RM452.98 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bank itu telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 12 sen sesaham, mewakili jumlah nisbah pembayaran dividen sebanyak 50 peratus.
Bagi enam bulan pertama pula, keuntungan bersih meningkat 16.3 peratus tahun ke tahun kepada RM370.6 juta manakala hasil melonjak dua peratus kepada RM954.6 juta daripada RM935.94 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh tinjauan, pendapatan faedah bersih meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun kepada RM813 juta disebabkan oleh volum pinjaman yang lebih tinggi dan kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Menurut Alliance Bank, margin faedah bersih meningkat 11 mata asas (bps) kepada 2.64 peratus.
Pendapatan yuran berasaskan pelanggan (tidak termasuk pembrokeran) meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM141.6 juta, didorong oleh pengurusan kekayaan yang lebih tinggi, jualan pertukaran asing dan yuran perdagangan.
Nisbah kos pula kepada pendapatan kekal stabil pada 43.9 peratus.
Tambahnya, pinjaman keseluruhan meningkat sebanyak 6.7 peratus, mengatasi purata industri iaitu 6.4 peratus.
“Prestasi kukuh itu disumbangkan oleh pertumbuhan dalam perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang meningkat 14 peratus tahun ke tahun dan perbankan komersial yang meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun.
“Pembiayaan berasaskan pelanggan adalah 8.4 peratus lebih tinggi tahun ke tahun dan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) dikekalkan tinggi di atas industri pada 48.7 peratus,” katanya.
Tambahnya, kos kredit bersih meningkat kepada 12.3 mata asas apabila pelanggan berjaya menamatkan program pelepasan pembayaran dengan pinjaman di bawah pelepasan dikurangkan kepada RM1.97 bilion, mewakili 4.2 peratus daripada jumlah buku pinjaman bank.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, keutamaan strategik telah membimbing bank untuk mencapai kejayaan dan keputusan yang mampan dalam sektor PKS seperti yang dibuktikan oleh bahagian pasarannya pada segmen itu berbanding saiz dan peningkatan prestasi yang bertambah baik.
“Melangkah ke hadapan, kami akan menumpukan kepada perluasan strategi dan mengembangkan ke segmen baharu melangkaui PKS untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN










