PETALING JAYA: Sime Darby Bhd. (SDB) telah melengkapkan penjualan Weifang Port di China dengan harga kira-kira RM1.27 bilion, menandakan syarikat itu kini tidak lagi terlibat dalam perniagaan bukan teras pelabuhan.
Dalam pemfailan di bursa semalam, SDB berkata pelupusan itu selesai pada Isnin.
“Selepas selesai cadangan pelupusan, syarikat Weifang Port tidak lagi menjadi anak syarikat, usaha sama dan syarikat bersekutu Sime Darby,” katanya.
Pada 4 Julai lalu, SDB berkata, anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Sime Darby Overseas (HK) Ltd. (SDOHK) telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan SPG Bohaiwan Port Group Co. Ltd. untuk melepaskan syarikat Weifang Port.
Sebagai tambahan kepada pertimbangan pelupusan, SDOHK akan menerima jumlah indikatif kira-kira RM357 juta sebagai pembayaran balik pinjaman pemegang saham.
SPG Bohaiwan Port Group adalah sebahagian daripada Shandong Port Group Co., yang telah diperbadankan oleh kerajaan wilayah Shandong untuk menyatukan aset pelabuhan di wilayah itu.
Hasil daripada penjualan syarikat Weifang Port akan digunakan untuk pelaburan masa depan dalam perniagaan perindustrian teras dan motor Kumpulan, untuk perbelanjaan modal serta membayar balik pinjaman jangka pendek.
Perjanjian penjualan saham itu dijangka selesai pada suku keempat 2022.
Pada rehat tengah hari Selasa, saham SDB telah susut 0.9 peratus atau dua sen kepada RM2.20 sesaham, dengan 1.08 juta unit diniagakan. – UTUSAN










