PETALING JAYA: Senheng New Retail Berhad (Senheng) merekodkan peningkatan keuntungan bersih 35.5 peratus lebih tinggi kepada RM14.5 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, daripada RM10.7 juta suku sama tahun sebelumnya,.
Senheng dalam kenyataan berkata, untung lebih tinggi itu disumbangkan oleh program menaik taraf dan pembesaran kedainya, serta jualan setiap kedai yang lebih tinggi.
Hasil Kumpulan meningkat 12.8 peratus kepada RM354.1 juta pada suku sama daripada RM313.8 juta tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh aktiviti sektor runcit yang bertambah baik, kempen pemasaran seperti program Ulang Tahun Senheng ke-33, Hari Ahli PlusOne dan program Beli Sekarang Bayar Kemudian.
Selain itu, katanya, margin kasar meningkat kepada 23.1 peratus pada suku tinjuan berbanding 21.4 peratus suku sama tahun sebelumnya, disebabkan oleh pilihan produk yang menggalakkan.
Sementara itu, bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, hasil Kumpulan meningkat 13.3 peratus kepada RM1.1 bilion daripada RM987.7 juta tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih (PAT) meningkat 16.1 peratus kepada RM39.5 juta daripada RM34.1 juta tahun lepas.
Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng berkata, penambahbaikan dan pengembangan berterusan kedai Senheng dan senQ dengan format kedai yang dipertingkatkan di seluruh negara secara konsisten menjana jualan setiap kedai yang lebih kukuh.
Katanya, ini kerana pengguna menghargai pengalaman membeli-belah yang unggul dan pemilihan produk yang lebih luas.
“Kami juga memperkukuh pemasaran digital dan saluran beli-belah dalam talian kami dengan menyepadukan lebih banyak penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan analitik daripada penyedia penyelesaian terkemuka, sambil memanfaatkan cerapan data daripada lebih tiga juta ahli PlusOne.
“Ini membolehkan kami menyediakan pengalaman yang lebih diperibadikan kepada pelanggan kami untuk pengalaman Omnichannel yang lebih hebat,” katanya.
Tambahnya, dengan pengembangan berterusan dan peningkatan teknologi, syarikat optimis untuk mencatat prestasi kukuh pada suku keempat 2022, disokong oleh pembelian elektronik pengguna yang lebih tinggi secara bermusim di tengah-tengah cuti akhir tahun dan musim perayaan. – UTUSAN










