PETALING JAYA: Komuniti perniagaan berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet yang bakal dibentuk dapat memacu ekonomi Malaysia pasca Covid-19 dan cabaran semasa ekonomi global.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pembentukan Kabinet perlu disegerakan untuk memastikan semua langkah dan dasar dilaksanakan dengan cepat termasuk Bajet 2023 untuk membantu sektor ekonomi dan rakyat dalam tempoh yang mencabar ini.
Katanya, FMM mengharapkan sokongan dan penekanan berterusan kerajaan terhadap penciptaan nilai yang berdaya saing dan mampan serta pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pembuatan yang menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi terutamanya semasa tempoh pandemik.
“Persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan akan memastikan kemudahan menjalankan perniagaan dan memastikan industri berdaya saing dan mampan serta terus berkembang.
“Ini hanya boleh dicapai jika dasar dan peraturan adalah mudah, lebih telus, boleh dipercayai, mudah dipatuhi, konsisten dan adil.
“Oleh itu, adalah penting bahawa semua dasar dan langkah yang dilaksanakan ke arah membantu pemulihan perniagaan dan pemulihan ekonomi adalah berdasarkan empat prinsip dasar utama iaitu kredibiliti, kejelasan, konsisten dan kepastian,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Thian Lai berkata, melangkah ke hadapan, adalah penting bagi kerajaan untuk mengukuhkan asas ekonomi termasuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan yang menjadi penghalang utama kepada pemulihan perniagaan.
Jelasnya, asas kepada komuniti perniagaan adalah keperluan untuk memulihkan tahap keyakinan pelabur asing dan domestik dengan memberi tumpuan kepada dasar yang betul, mengukuhkan pasaran modal dan memastikan kestabilan ringgit.
“Pembaharuan institusi juga merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi dengan tumpuan berterusan terhadap kecekapan pentadbiran kerajaan dan memastikan tahap integriti tertinggi.
“Selain itu, adalah penting untuk kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan kuasa beli mereka dan menurunkan kos sara hidup,” ujarnya. – UTUSAN










