PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi pertanian utama baru-baru ini membincangkan kaedah menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dalam sektor pertanian
dalam usaha meningkatkan keselamatan makanan negara.
Seramai 40 wakil daripada agensi dan pemain industri telah menghadiri bengkel GROW®, program kerjasama baharu di bawah inisiatif utama fintech SC, SCxSC.
“GROW® merupakan satu usaha kolaboratif antara SC dan rakan kongsi ekosistem bagi memanfaatkan potensi platform digital penjanaan dana alternatif. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pemain yang kurang mendapat perhatian dalam sektor-sektor strategik seperti pertanian,” kata SC dalam kenyataan.
Kata SC, pendanaan ramai ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) dan pembiayaan peer-to-peer (pembiayaan P2P) adalah antara mekanisme pembiayaan alternatif yang dibincangkan semasa bengkel tersebut, yang dikenal pasti sebagai kaedah pembiayaan dalam sektor tersebut.
Semenatra itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin menekankan kepentingan meluaskan akses kepada pasaran modal untuk perniagaan tempatan.
Kata beliau, SC telah melihat bagaimana teknologi telah memperluas pembiayaan melalui platform digital seperti pendanaan ECF dan pembiayaan P2P.
“Kami percaya saluran pembiayaan alternatif ini berpotensi untuk menangani beberapa keperluan pembiayaan PKS dalam sektor pertanian juga,” katanya pada bengkel sehari tersebut.
Pegawai kanan daripada kementerian, agensi dan pemain utama dalam ekosistem
pertanian yang berkaitan hadir pada bengkel itu. Ia termasuk wakil daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Agrobank.
Menurut SC, berikutan bengkel itu, pihaknya merancang untuk melangsungkan penglibatan industri yang lebih luas bersama pemegang kepentingan utama pada tahun hadapan termasuk menganjurkan Persidangan GROW® Fintech.
Ia diikuti bengkel GROW® di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendanaan ECF dan pembiayaan P2P sebagai pilihan pembiayaan yang berdaya maju untuk PKS asas tani bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Program-program ini akan melengkapkan usaha berterusan kerajaan untuk menyokong pengumpulan dana alternatif oleh perniagaan pertanian seperti Malaysia Co-investment Fund (MyCIF),” katanya.
MyCIF merupakan sebuah inisiatif pelaburan awam-swasta yang ditadbir oleh SC bagi pihak Kementerian Kewangan, dan telah melihat peningkatan penggunaan kempen ECF dalam sektor pertanian selepas melaksanakan nisbah khas 1:2 pada 2022 dalam sektor ini.
MyCIF telah melabur sebanyak RM1 untuk setiap RM2 yang diperoleh daripada pelabur swasta melalui platform yang diambil bahagian oleh penerbit yang layak.
MyCIF telah melabur bersama dalam pelbagai projek pertanian dalam aktiviti huluan dan hiliran, termasuk firma yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil pertanian dan pengeluaran akuakultur. – UTUSAN










