PETALING JAYA: RHB Banking Group (RHB) memperkukuh pendirian toleransi sifar terhadap rasuah dan korupsi melalui pemeteraian ‘Ikrar Bebas Rasuah’ sebagai sebahagian daripada Minggu Integriti RHB 2022 yang berlangsung dari 14 hingga 18 November 2022.
Pemeteraian ikrar itu diketuai oleh Pengerusi RHB Banking Group, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dan disaksikan oleh pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut mengambil bahagian dalam ikrar tersebut semua ahli Lembaga Pengarah Kumpulan serta pasukan pengurusan kanan.
Ahmad Badri berkata, Kumpulan melancarkan Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) pada majlis tersebut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menegak dan menggalakkan tadbir urus korporat yang baik.
Katanya, OACP adalah dokumen strategik yang memperincikan keutamaan dan program utama Kumpulan dalam mempromosikan tahap integriti dan tadbir urus tertinggi serta memerangi rasuah dalam organisasi.
“OACP mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan penuh kami terhadap aspirasi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) untuk mencapai negara bebas rasuah melalui visi kami untuk mewujudkan institusi kewangan bebas rasuah.
“Pelan ini menggariskan sasaran dan pelan tindakan kami dalam tempoh lima tahun sehingga 2026, memfokuskan kepada empat bidang keutamaan iaitu budaya kerja organisasi, pengurusan rakan niaga dan agensi, pengesahan program pencegahan rasuah dan korupsi serta vendor dan pengurusan projek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya berharap dapat terus mencipta impak positif dalam industri kewangan dengan mempertanggungjawabkan diri mereka kepada piawaian integriti tertinggi.
OACP RHB sejajar inisiatif yang ditetapkan di bawah Strategi 6.2.1 NACP yang memerlukan pelbagai entiti, termasuk yang dikawal selia oleh badan kawal selia untuk membangun dan melaksanakan pelan anti-rasuah mereka sendiri.
Pelan tersebut berfungsi sebagai panduan untuk pengarah RHB, pengurusan kanan dan pekerja di semua peringkat untuk mengesan dan menghalang rasuah dan amalan rasuah di seluruh perniagaan dan operasi Kumpulan.
Ia berpandukan tujuh objektif strategik dan didorong oleh 27 inisiatif dalam jangka masa yang ditetapkan. – UTUSAN










