PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada Oktober 2022 bernilai RM245.2 bilion, peningkatan 21.1 peratus tahun ke tahun, dengan nilai eksport berjumlah RM131.6 bilion dan import bernilai RM113.5 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport pada Oktober meningkat sebanyak RM17.1 bilion, peningkatan 15.0 peratus daripada bulan sama tahun sebelumnya.
Kata beliau, eksport yang lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM7.1 bilion), Johor (+RM4.8 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Wilayah Persekutuan (WP) Labuan (+RM1.7 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Kedah (+RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (+RM453.2 juta), Perlis (+RM43.5 juta), WP Kuala Lumpur (+RM41.8 juta), Melaka (+RM38.0 juta) dan Kelantan (+RM17.7 juta).
“Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Selangor (-RM1.8 bilion), Terengganu (-RM581.2 juta), Perak (-RM404.6 juta) dan Pahang (-RM330.6 juta),” katanya dalam kenyataan mengenai `Statistik eksport import mengikut negeri Oktober 2022.
Mohd. Uzir berkata, import pada Oktober 2022 juga meningkat RM25.6 bilion (+29.2%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM14.1 bilion), Selangor (+RM4.3 bilion), Melaka (+RM1.9 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Pulau Pinang (+RM1.7 bilion), Sarawak (+RM929.3 juta), Negeri Sembilan (+RM353.0 juta), WP Kuala Lumpur (+RM164.6 juta), Pahang (+RM144.6 juta), Sabah (+RM107.8 juta), Kelantan (+RM39.8 juta) dan Perlis (+RM26.3 juta).
“Walau bagaimanapun, import menyusut di Terengganu (-RM346.0 juta), WP Labuan (-RM52.5 juta) dan Perak (-RM32.5 juta),” jelas beliau.
Tambah Ketua Perangkawan, antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.6 peratus, diikuti Johor (21.9%), Selangor (17.1%), Sarawak (9.0%) dan WP Kuala Lumpur (4.3%).
“Sementara itu, bagi import, Johor merupakan penyumbang utama dengan 28.0 peratus, diikuti Selangor (24.0%), Pulau Pinang (20.8%), Kedah (6.5%) dan WP Kuala Lumpur (5.7%),” katanya. – UTUSAN










