PETALING JAYA: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun semalam, apabila peserta pasaran mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada 9.05 pagi semalam, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.55 mata kepada 1,459.45 sebelum ditutup pada 1,450.54 menyaksikan penyusutan sebanyak 13.46 mata.
Sementara itu, prestasi ringgit semakin mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila didagangkan pada 4.5870/5925.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi ringgit dan Bursa Malaysia dijangka terus didagangkan dalam situasi berhati-hati memandangkan pelbagai faktor dalaman dan luar negara.
“Bagi faktor dalaman, para pelabur sama ada dalam atau dari luar negara memerhatikan dengan penuh minat PRU15 yang sedang berlangsung, kerana sebarang keputusan perniagaan atau pelaburan akan dibuat selesai pembentukan kerajaan baharu nanti.
“Faktor luaran pula antaranya keputusan pilihan raya Dewan Senat AS yang memberikan pertandingan parti Demokrat yang diketuai oleh Presiden AS, Joe Biden dan pencabar parti Republikan.
“Sekiranya parti Demokrat terus menguasai Dewan Senat maka dasar-dasar pentadbiran Biden akan diteruskan, termasuklah dasar Rizab Persekutuan (Fed) yang akan terus menaikkan kadar faedahnya untuk mengawal inflasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, kebiasaannya prestasi ringgit dan Bursa Malaysia tidak banyak terkesan dengan pilihan raya kecuali beberapa saham syarikat yang mempunyai kepentingan politik akan didagangkan dengan aktif sebelum dan selepas keputusan diumumkan.
“Namun, ringgit sudah mula menunjukkan pengukuhan berbanding dolar AS disebabkan situasi ekonomi semasa di AS yang sudah mula menunjukkan pemulihan iaitu kadar inflasi yang semakin rendah dan sikap Fed yang tidak akan menaikkan kadar faedah dengan ketara lagi,” ujarnya. – UTUSAN










