PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, prospek pasaran negara pada tahun hadapan dijangka baik, walaupun terdapat cabaran pada separuh pertama 2023.
Ketua Penyelidikan Ekuiti Serantau RHB Research, Alexander Chia bagaimanapun berkata, tidak dinafikan, pada minggu pertama 2023, keadaan pasaran dijangka turun naik.
Kata beliau, ini kerana kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) masih berlaku dan turut memberi kesan kepada pasaran global.
“Kini sudah terdapat petanda bahawa inflasi Amerika Syarikat (AS) sudah memuncak dan kami berharap trend itu akan berterusan. Implikasinya ialah, mereka tidak akan terus meningkatkan kadar faedah sekiranya inflasi sudah memuncak.
“Pasaran kini menjangka kenaikan yang lebih rendah pada Disember ini dan Februari tahun hadapan iaitu sebanyak 50 mata asas berbanding kenaikan 75 mata asas sebanyak empat kali berturut-turut sebelum ini.
“Sekiranya pasaran percaya masalah inflasi sudah berakhir dan tiada kenaikan faedah yang terlalu tinggi oleh Fed, prospek pasaran pasti akan positif.
“Selain itu, polisi sifar Covid-19 di China turut memberi impak kepada prestasi pasaran memandangkan negara terbabit turut menyumbang kepada pelaburan dan perdagangan global.
“Peraturan tersebut dijangka akan dilonggarkan namun ia tidak akan berlaku secara serta-merta. Ia perlu dilakukan secara beransur-ansur,” katanya pada webinar ‘Stock Market Outlook: What’s Next After GE15?’ , baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Chia berkata, politik negara juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan pasaran berada dalam keadaan yang baik.
Ujarnya, memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah selesai dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, ia telah memberi sentimen yang baik kepada pasaran.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu buktikan bahawa mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Semoga kerajaan baharu ini mengambil pendekatan yang lebih inklusif kerana ia akan memberi sentimen yang baik kepada pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kesimpulannya, walaupun terdapat cabaran yang perlu dihadapi pada separuh pertama 2023, kami berpendapat tiada banyak sebab untuk mempunyai tanggapan yang terlalu negatif kepada prospek pasaran pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN










