Permohonan ATR meningkat 18.8 peratus

Permohonan ATR meningkat 18.8 peratus

KLIA yang merupakan pintu masuk utama laluan udara ke negara ini terus merekodkan prestasi memberangsangkan sepanjang berada di bawah kendalian MAHB. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima 38  permohonan Hak Trafik Udara (ATR) pada suku ketiga dari 1 Julai hingga 30 September 2022, peningkatan 18.8 peratus berbanding suku sebelumnya.

Menurut MAVCOM, jumlah tersebut menunjukkan lonjakan permohonan ketara sebanyak 81 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Suruhanjaya itu berkata, permohonan ATR tersebut terdiri daripada 33 laluan udara antarabangsa dan lima laluan udara domestik.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, peningkatan yang berterusan dalam permohonan dan kelulusan ATR sepanjang tahun lalu dan untuk tiga suku tahun ini mencerminkan kemajuan positif dalam pemulihan sektor penerbangan Malaysia.

Katanya, antara penyumbang kepada pemulihan tersebut adalah pembukaan semula sempadan serantau dan antarabangsa secara beransur-ansur, pengurangan penyebaran Covid-19 dan pengaktifan semula pesawat oleh syarikat penerbangan.

Jelanya, peningkatan juga dipacu oleh peningkatan dalam perkhidmatan penumpang ke destinasi-destinasi didorong oleh permintaan terpendam.

“Majoriti permohonan ATR yang telah diterima oleh Suruhanjaya adalah bagi destinasi-destinasi di rantau Asia Pasifik termasuk 11 permohonan bagi laluan udara di ASEAN, sembilan bagi laluan udara di Asia dan empat bagi destinasi di Australasia.

“Suruhanjaya yakin industri penerbangan negara akan terus mencapai kadar pemulihan yang progresif,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, Suruhanjaya telah meluluskan 34 daripada 38 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan pada suku tersebut.

“Semua permohonan ATR domestik telah diluluskan oleh MAVCOM. Daripada 34 ATR yang diluluskan oleh Suruhanjaya, Batik Air Malaysia dan AirAsia X telah menerima kelulusan ATR tertinggi berjumlah 10 ATR bagi setiap syarikat penerbangan.

“Ini diikuti oleh MABKargo sebanyak lima ATR. Malaysia Airlines dan World Cargo Airlines masing-masing diberikan kelulusan sebanyak tiga ATR, manakala AirAsia, MyJet Xpress, dan Raya Airways masing-masing satu kelulusan ATR,” ujarnya.

Menurut MOVCOM, sektor kargo telah menyaksikan pertumbuhan dari segi jumlah  permohonan ATR yang dikemukakan dan diluluskan oleh MAVCOM pada 2022, dengan 10 ATR diperuntukkan untuk sektor kargo pada suku ketiga.

Jelanya, peningkatan permintaan untuk kargo di ASEAN dan destinasi-destinasi di China menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN