KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah Pavilion Damansara Heights Mall yang bakal dibuka kepada pengunjung Mei tahun depan, sudah mempunyai lebih 70 peratus bakal penyewa untuk ruang niaganya.
Ketua Pengarah Eksekutif (Peruncitan) Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Datuk Joyce Yap berkata, pusat beli-belah enam tingkat dan mempunyai 380 kedai tersebut bakal menjadi destinasi mesra pelanggan dengan menyediakan pelbagai restoran, beli-belah, hiburan dan riadah.
Katanya, jumlah penyewa dijangka meningkat kerana pihaknya yakin lokasi dan konsep pembangunan Pavilion Damansara Heights Mall akan menarik lebih ramai pelabur dan jenama untuk datang ke Malaysia setelah mula pulih selepas pandemik.
“Pembukaan semula sempadan dan kedatangan semula pelancong asing ke Malaysia adalah berita baik buat Pavilion Damansara Heights Mall dan penyewa- penyewa kami yang dalam persiapan untuk pelancaran kami pada Mei 2023.
“Kami akan meneruskan usaha untuk menambah baik pendekatan sambil mengambil kira aliran pasaran supaya pusat beli-belah ini akabila dibuka, akan menjadi lokasi yang wajib dikunjungi pelancong luar dan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pusat beli-belah tersebut di Hotel Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Pengerusi Pavilion Group, Puan Sri Cindy Lim.
Sementara itu, Joyce berkata, pembukaan pusat beli-belah tersebut dijangka mewujudkan hampir 4,000 pekerjaan, di samping pelbagai kesan pengganda kepada ekonomi selaras dengan janji syarikat untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tambahnya, Pavilion Damansara Heights Mall yang mempunyai luas lebih sejuta kaki persegi dan terletak di kejiranan Bukit Damansara, dibangunkan di plot tanah seluas 6.4 hektar.
“Kami merancang pembangunan bersepadu turut menampilkan lima menara kediaman mewah, 10 menara korporat dan cadangan hotel lima bintang untuk menjadikan tempat itu benar-benar meriah pada siang dan malam.
“Ini dapat memenuhi pelbagai keperluan dan kehendak dari kedua-dua penghuni serta kejiranan sekitar, bermula dari Damansara Heights, Bangsar, Sri Hartamas, Mont Kiara, Taman Tun Dr. Ismail dan pelbagai lagi,” ujarnya. – UTUSAN










