OPR naik kepada 3.0 peratus Januari 2023? - Utusan Malaysia

OPR naik kepada 3.0 peratus Januari 2023?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka bersiap sedia lebih awal mengenai dasar monetarinya dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap pra-pandemik pada 3.00 peratus menjelang Januari 2023.

MIDF Research berkata, peningkatan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam Mesyuarat Dasar Monetari terakhirnya pada 2022 adalah selaras dengan jangkaan pasaran, tetapi masih kekal di bawah paras pra-pandemik.

“Menjelang 2023, penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

“Dengan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan dalam negeri yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami menjangkakan bank pusat akan bersiap sedia lebih awal mengenai dasar monetarinya untuk kembali ke paras pra-pandemik menjelang Januari 2023,” katanya dalam nota kajian.

Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, ia akan tertakluk kepada kestabilan dalam pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan peningkatan terhadap permintaan domestik.

“BNM membayangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada suku ketiga 2022, disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh, prospek pendapatan yang baik dan permintaan dalam negeri yang teguh akan terus melonjakkan aktiviti ekonomi domestik pada suku ketiga tahun ini.

“Mengenai perkembangan harga pula, BNM berpendapat inflasi boleh diurus kerana kadar purata inflasi bagi tempoh sembilan bulan pertama kekal dalam julat unjuran inflasi BNM iaitu pada 2.2 hingga 3.2 peratus.

“BNM meramalkan inflasi teras akan berada pada purata hampir kepada julat di atas 2.0 hingga 3.0 peratus tahun ini,” katanya.

Dari segi jangka sederhana, MIDF Research menyatakan normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan hutang isi rumah yang semakin meningkat.

“Kami berpendapat keputusan untuk menaikkan lagi OPR adalah tepat pada masanya, dengan mengambil kesempatan terhadap prestasi makroekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Kami juga bersependapat dengan BNM terutamanya mengenai pendirian bahawa dasar kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 mengenai subsidi bahan api akan menentukan hala tuju prospek inflasi Malaysia untuk tahun depan,” katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap kejatuhan nilai ringgit, MIDF Research berpendapat ia disebabkan oleh peningkatan kukuh dolar AS kerana Rizab Persekutuan (Fed) dijangka terus memilih dasar pengetatan monetari yang agresif.

Sementara itu, Ahli Ekonomi OCBC Treasury Research, Wellian Wiranto berkata, secara keseluruhannya, keputusannya menaikkan OPR itu adalah satu lagi peningkatan dalam pemacu penentukuran semulanya untuk menormalkan penetapan kadar dasar. 

Ujarnya, walaupun ia secara diam-diam memberi amaran tentang keperluan untuk menguruskan risiko permintaan yang berlebihan, namun, ahli ekonomi melihat ia semakin hampir kepada penghujung kitaran pengetatan daripada sebelumnya. 

“Ketika inflasi lebih berat daripada pertumbuhan, imbangan mungkin berubah sebaliknya dalam beberapa bulan akan datang memandangkan ketidaktentuan global.

“Setelah menaikkan kadar kepada 2.75 peratus kini, landasan untuk terus meningkatkan OPR seterusnya semakin terhad. Bagi kami, berkemungkinan terdapat satu lagi kenaikan pada awal tahun depan kepada 3.0 peratus. 

“Selepas itu, kami fikir BNM akan meninjau landskap global dengan lebih teliti untuk menilai sebarang keperluan untuk bergerak lebih jauh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN