OPR naik bakal bebankan usahawan PMKS

OPR naik bakal bebankan usahawan PMKS

MOHD. FARHAN SABRY di ladangnya di Bukit Keteri, Padang Besar. - - UTUSAN/NUR NAZLINA NADHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan menambah beban petani dan penternak sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini sudah tersepit dengan kenaikan harga input pertanian, namun terpaksa menjual hasil pada harga kawalan.

Usahawantani dari Perlis, Mohd. Farhan Sabry, 41, berkata, kenaikan OPR akan membantutkan pertumbuhan PMKS yang perlahan ketika ini dan akan terjejas dengan kenaikan kadar faedah pinjaman.

Dia yang mempunyai ladang ternakan itik dan beberapa kebun tanaman seperti cili dan betik berkata, musim tengkujuh ketika ini sudah pun memberi tekanan kepada hasil pendapatan usahawantani secara kecil-kecilan.

“Mungkin 30 hingga 40 peratus sahaja usahawan tani yang bersedia dari segi kewangan untuk kenaikan ini. Selebihnya, terutamanya usahawantani kecil masih lagi mengalami pertumbuhan yang perlahan.

“Di samping itu, kami juga berdepan dengan kos kenaikan harga input pertanian seperti baja, biji benih, racun dan makanan ternakan, namun hasil pertanian dijual mengikut harga kawalan.

“Oleh itu, kami akan tersepit kerana perlu menanggung kos menjalankan perniagaan dan dalam masa yang sama berdepan kenaikan kadar faedah pinjaman bank,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mohd. Farhan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk tidak menaikkan dulu OPR sekurang-kurangnya dalam masa setahun lagi.

“Ketika ini, kebanyakan usaha masih lagi dalam proses untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19. Kita tidak mahu usaha pertumbuhan ini terbantut,” ujarnya.

NOOR FADZLINA ZAKERI mengusahakan kedai bakeri di Bintong, Kangar, Perlis. – UTUSAN/NUR NAZLINA NADHARI

Dalam pada itu, pemilik bakeri Lotti juga dari Perlis, Noor Fadzlina Zakeri, 40, peningkatan OPR pasti memberi kesan kepada PMKS yang mempunyai pinjaman dengan institusi kewangan.

“Buat masa ini, saya tidak membuat pinjaman di bank tetapi melalui agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Namun, bagi PMKS lain yang akan membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan pasti akan terkesan dengan kenaikan ini,” ujarnya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan kenaikan OPR buat kali keempat, hari ini.

Ramai penganalisis menjangkakan kenaikan sebanyak 25 mata asas, menjadikan OPR terkini kepada 2.75 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN