PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini.
Berikutan kenaikan terbaharu itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.
Bank pusat itu berkata, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
“Kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Tekanan inflasi berlarutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang ketat serta harga komoditi yang tinggi meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.
Kesannya, banyak bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah bagi menguruskan tekanan inflasi. – UTUSAN