PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam selepas tiga hari berturut-turut merekodkan kenaikan dalam keadaan prestasi dolar AS yang bercampur-campur.
Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan susut kepada 4.7100/7150 berbanding dolar AS daripada 4.6885/6950 ketika ditutup pada Rabu.
Mata wang tempatan itu bagaimanapun kembali ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat pada 4.6998.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan itu berlaku kerana para pengurus dana menunggu keputusan undian Pilihan Raya Pertengahan Penggal di AS.
Ujarnya, ia bagi mengetahui sama ada parti Demokrat yang diketuai Presiden Joe Biden berjaya mempertahankan majoriti mereka berbanding parti Republikan diketuai oleh Donald Trump.
“Kemenangan parti Demokrat memastikan dasar kewangan AS sekarang ini akan berterusan terutama Rizab Persekutuan (Fed) yang akan terus menaikkan kadar faedah.
“Ringgit dan mata wang lain dijangka akan kembali melemah berbanding AS yang akan terus mengukuh dengan kenaikan kadar faedah oleh Fed yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, selepas mencatatkan kenaikan berterusan yang ketara semalam, ringgit sememangnya dijangka mengalami penurunan semula berbanding dolar AS menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan hari ini (semalam).
“Ringgit turut seiring dengan mata wang Thailand memandangkan baht Thailand lebih kukuh dengan aliran pelaburan asing yang besar susulan keyakinan sektor pelancongan.
“Ini adalah isyarat optimis bahawa wang akan kembali ke rantau ini dan sukar untuk negara jiran mengabaikannya memandangkan kedua-dua mata wang ini sensitif terhadap aliran pelancongan,” katanya.
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.3628/3685 daripada 5.3651/3725 ketika ditutup pada Rabu namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3614/3655 daripada 3.3513/3562.
Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.2225/2261 daripada 3.2159/2208 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.7227/7277 daripada 4.7101/7177. – UTUSAN










