PETALING JAYA: Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik sehenti (EMS), NationGate Holdings Berhad (NationGate) mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) untuk disenaraikan di Pasaran ACE menjelang Januari tahun depan.
NationGate dalam kenyataan berkata, tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan awam sebanyak 435.5 juta saham baharu dalam NationGate, mewakili 21 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.
Katanya, daripada saham yang diperuntukkan untuk terbitan awam, 103.7 juta saham baharu akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian dan 103.7 juta saham baharu untuk pengarah dan pekerjanya yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan NationGate di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.
Sementara itu, baki 228.1 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
“Pemegang saham sedia ada syarikat juga akan membuat tawaran untuk jualan 290.4 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.
Pengarah Urusannya, Ooi Eng Leong berkata, kelulusan penyenaraian itu merupakan satu peristiwa penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi entiti tersenarai.
Katanya, pelan tersebut akan mengukuhkan kekuatan kewangan syarikat untuk pelaburan semula ke dalam keupayaan teknologi serta membina dan mengekalkan tenaga kerja berbakat dalam landskap teknologi yang sentiasa berubah dalam persekitaran EMS yang dinamik.
“Ia juga akan membolehkan kami mengumpul dana yang diperlukan untuk membeli mesin dan peralatan tambahan untuk mengembangkan lagi kapasiti pemasangan teknologi pelekap permukaan (SMT) kami.
“Selain itu, ia dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran syarikat sejajar dengan peningkatan permintaan daripada pelanggan kumpulan yang sedia ada dan baharu,” katanya.
M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut. – UTUSAN









