PETALING JAYA: MDC Asia Link Bhd (MDC Asia), penyedia perkhidmatan perubatan halal yang juga pemilik Hospital Pusrawi menyasarkan pembukaan 20 cawangan pusat berpantang patuh syariah ‘The Sanctuary Pusrawi’.
Ketua Pegawai Eksekutif MDC Asia, Dr. Aslan Bacho berkata, sasaran tersebut dijangka dapat dicapai dalam tempoh setahun.
Katanya, setakat ini, pembukaan 20 cawangan tersebut dijangka melibatkan beberapa lokasi tumpuan di sekitar Lembah Klang.
“Untuk operasi ‘The Sanctuary Pusrawi’ yang pertama iaitu di Kota Damansara, kami telah menjalin kerjasama dengan ‘The Sanctuary’ terutama melibatkan operasi dan prosedur.
“Namun, pada masa akan datang, koloborasi lebih kepada operasi sahaja kerana kami mahu memberi peluang kepada pelabur atau pusat berpantang lain untuk jalinan kerjasama bagi pembukaan cawangan lain,” katanya dalam Majlis Perasmian Pelancaran The Sanctuary Pusrawi di sini.
The Sanctuary Pusrawi menyediakan perkhidmatan pusat berpantang patuh syariah dengan menyediakan beberapa pakej untuk wanita bersalin.
Tambah Dr. Aslan, pihaknya tidak hanya memberi fokus kepada perubatan semata-mata, sebaliknya turut memberi fokus kepada perkhidmatan pergigian patuh syariah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pusat tersebut mampu menerima pesakit seramai 16 orang dalam satu-satu masa.
“Dalam sebulan, purata pesakit yang menerima rawatan dan perkhidmatan di sini adalah seramai 80 hingga 90 orang.
“Apa yang penting ialah jaminan kami untuk mereka yang mendapatkan perkhidmatan patuh syariah di sini nanti,” jelasnya. – UTUSAN










