PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) menyaksikan peningkatan dalam keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) tahun ke tahun kepada RM58.96 juta untuk suku ketiga 2022 berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM104.38 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
PAT sembilan bulan Kumpulan ialah RM259.46 juta, lebih rendah daripada RM362.32 juta yang dicatatkan dalam sembilan bulan pada tahun lalu.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2022, Kumpulan mencatatkan PAT sebanyak RM58.96 juta, 58.57 peratus lebih rendah berbanding RM142.30 juta pada suku kedua.
Pada suku tersebut, jumlah aset Kumpulan berjumlah RM51.91 bilion, meningkat 2.08 peratus berbanding RM50.85 bilion pada suku kedua terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan dalam aset pembiayaan.
Deposit Kumpulan turut meningkat kepada RM34.22 bilion pada suku terbabit berbanding RM32.99 bilion pada suku kedua.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib dalam kenyataan berkata, melangkah ke hadapan, MBSB akan memberi tumpuan kepada meningkatkan pertumbuhan keseluruhan pembiayaannya untuk memacu aset asasnya dan menurunkan COF melalui pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) untuk meningkatkan keuntungan.
“Dari segi pengguna, Kumpulan melihat permintaan yang lebih tinggi dalam pembiayaan hartanah dalam sembilan bulan pertama 2022.
“MBSB juga menyasarkan untuk mengembangkan portfolio korporatnya, memberi tumpuan kepada syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat berbilang negara.
“Memiliki portfolio hijau yang ketara juga merupakan strategi jangka panjang untuk MBSB. Kami menyasarkan untuk mencapai kira-kira 20 peratus hingga 25 peratus daripada pembiayaan hijau daripada portfolio korporat menjelang 2030.
“Kami juga akan mengutamakan pembiayaan Perusahaan Kecil (PKS) dan Sederhana serta menyokong mereka untuk mengamalkan amalan rendah karbon dengan menubuhkan Pusat Perniagaan PKS di kawasan utama seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










