Maybank IB semak naik unjuran KDNK 2022 kepada 8%

Maybank IB semak naik unjuran KDNK 2022 kepada 8%

OPR kekal tiga peratus setakat tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Ketua Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, pihaknya bagaimanapun mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak empat peratus bagi 2023.

Katanya, pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan pada suku keempat tahun ini dan tahun depan disebabkan terutamanya oleh inflasi yang tinggi dan impak kadar faedah yang meningkat.

“Faktor pengurangan daripada impak tersebut termasuk pengeluaran lebihan simpanan dan pemulihan pelancongan untuk menyokong perbelanjaan pengguna, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dan lebih kukuh termasuk projek-projek digital dan hijau.

“Turut termasuk adalah kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Wildcard adalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini,” katanya dalam laporan penyelidikan di sini.

Semenatara itu, penganalisis ekonominya, Zamros Dzulkifli berkata, Maybank IB turut menyemak naik unjuran lebihan akaun semasa bagi keseluruhan tahun ini kepada RM34 bilion atau dua peratus dari KNDK berbanding RM22.5 bilion atau 1.3 peratus daripada KDNK sebelum ini.

Menurutnya, lebihan akaun semasa pada tahun lalu mencapai RM58.7 bilion atau 3.8 peratus daripada KNDK.

“Lebihan akaun semasa melonjak kepada RM14.1 bilion atau 3.1 peratus daripada KDNK pada suku ketiga berbanding RM4.4 bilion atau satu peratus daripada KDNK pada suku kedua.

“Ini menjadikan lebihan akaun semasa bagi sembilan bulan pertama tahun ini kepada RM21.5 bilion atau 1.6 peratus daripada KDNK, disumbangkan terutamanya pada lebihan yang lebih besar dalam akaun perdagangan barangan,” ujarnya.

Tambahnya, lebihan akaun semasa bagi tempoh yang sama tahun lalu adalah RM43.4 bilion atau 3.9 peratus daripada KDNK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN