KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berdepan kemelesetan ekonomi pada tahun depan walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana kerana akan dipacu oleh permintaan domestik.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, secara spesifik, perbelanjaan sektor swasta dijangka akan menerima manfaat daripada peningkatan berterusan dalam pasaran kerja.
Katanya, pemulihan juga akan terus dilihat dalam aktiviti pelancongan dengan pembukaan sempadan yang semakin bertambah.
“Selain itu, pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar.
“Walaupun permintaan luar dijangka berkurang, struktur eksport kita yang pelbagai dari segi produk dan pasaran akan terus membantu menyokong kemerosotan dalam mana-mana produk atau pasaran,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga (S3) 2022 di Sasana Kijang di sini, semalam.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak empat hingga lima peratus pada 2023.
Mengulas mengenai penyusutan nilai ringgit, beliau berkata, ia didorong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan ia tidak bermakna ekonomi Malaysia lemah dan berada dalam krisis
Menurutnya, kelemahan ringgit pada masa ini adalah berikutan pengukuhan dolar AS dan perkara tersebut adalah sejajar dengan mata wang serantau dan utama lain.
“Krisis ekonomi biasanya dikaitkan dengan penguncupan teruk dalam pertumbuhan KDNK, kadar tinggi pengangguran, penutupan perniagaan secara meluas, dan kegagalan kewangan pengantaraan. Kami tidak melihat ini dalam petunjuk.
“KDNK negara telah berkembang selama empat suku berturut-turut sejak suku ketiga 2021. Kadar pengangguran terus menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 3.6 peratus pada September berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021.
“Syarikat dan perniagaan prestasi kewangan kekal sihat. Orang ramai terus berbelanja,” jelasnya.
Beliau berkata, kelemahan nilai ringgit berbanding dolar AS tidak sepatutnya dijadikan sebagai barometer mudah untuk mengukur prestasi ekonomi kerana prestasi ringgit adalah stabil secara meluas berbanding mata wang negara rakan dagang utama Malaysia.
Menurut BNM, nilai ringgit menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding dolar pada S3, dan sejak awal tahun hingga 9 November lalu, nilai ringgit susut 11.2 peratus berbanding dolar.
Jelas bank pusat itu, penyusutan itu sejajar dengan kejatuhan nilai mata wang serantau lain sebanyak -5.5 peratus berbanding dolar pada S3 2022 dan -9.5 peratus sejak awal tahun hingga kini.
“Hal ini mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang sederhana,” jelasnya. – UTUSAN










