Malaysia pada landasan kukuh capai pertumbuhan

Malaysia pada landasan kukuh capai pertumbuhan lepasi paras prapandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh suku ketiga (S3) 2022 menunjukkan Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan melebihi paras prapandemik bagi tahun ini.

Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan, merekodkan pertumbuhan Ke­­­luaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih pesat sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga S3 2022 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua dan 5 peratus pada suku pertama.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), unjuran itu disokong oleh permintaan domestik yang berkembang terutamanya daripada perbelanjaan isi rumah selari dengan pemulihan prospek pasaran buruh dan pendapatan.

Selain itu katanya, sumbangan sektor berkaitan pelancongan kepada permintaan domestik dijangka pulih berikutan kenaikan jumlah ketibaan pelancong.

“Pelaksanaan lebih cepat projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi, peningkatan pelaburan swasta yang menggalakkan serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama akan mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

MOF berkata, prospek ekonomi Malaysia turut bergantung kepada perkembangan ekonomi global memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka.

Katanya, tekanan ekonomi, terutamanya peningkatan inflasi global akibat kenaikan harga yang berterusan dalam komoditi, makanan dan bahan mentah, di samping isu gangguan rantaian bekalan yang berterusan akibat ketegangan antara Russia dan Ukraine dijangka meningkatkan kos operasi dan input kepada perniagaan.

Tambahan pula, katanya, risiko keadaan kewangan global yang lebih ketat dan peningkatan kos sara hidup dijangka menjadi cabaran kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

“Ekonomi Malaysia kini mula merasai kesan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan terutama dari negara maju. Walau bagaimanapun, tinjauan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat kekal berdaya tahan dengan asas makroekonomi yang kukuh, keadaan kewangan yang stabil dan kepelbagaian struktur ekonomi.

“Pelbagai langkah akan diteruskan bagi meningkatkan potensi ekonomi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif,” jelasnya.

Menurut MOF, pertumbuhan KDNK S3 yang kukuh disumbangkan oleh permintaan dalam dan luar negara serta pasaran buruh yang memberangsangkan.

Perkembangan ini turut dipacu oleh prestasi menggalakkan dalam semua sektor ekonomi diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Pertumbuhan S3 2022 ini turut disokong oleh pelaksanaan langkah Bajet 2022 serta kesan limpahan daripada peralihan kepada fasa endemik yang mendorong aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak. Secara keseluruhan, KDNK meningkat sebanyak 9.3 peratus pada sembilan bulan pertama 2022,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN