PETALING JAYA: Pertumbuhan Malaysia tahun ini sepatutnya menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan pada 2023 yang mencabar, walaupun lebih perlahan, menurut RAM Ratings.
Ketua Penyelidikan Ekonomi RAM Ratings, Woon Khai Jhek berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini Malaysia pada suku ketiga 2022 berkembang sebanyak 9.3 peratus tahun ke tahun.
“Kami menganggarkan pertumbuhan setahun penuh mencecah 8.2 peratus. Namun, berikutan ancaman kemelesetan global yang semakin hampir, ekonomi Malaysia pasti akan menghadapi risiko penurunan pada tahun depan.
“Malaysia tidak dapat lari daripada kesan gandaan pertumbuhan global yang lebih perlahan tahun hadapan, yang secara langsung akan mengurangkan permintaan luar dan melembapkan prestasi eksport Malaysia,” katanya pada webinar RAM Ratings bertajuk Economic Outlook 2023: Choppy Waters Ahead.
Ujarnya, ekonomi domestik Malaysia yang luas dan pelbagai sepatutnya membantu dan menyokong mengurangkan kesan eksport yang lebih lemah.
RAM Ratings mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun hadapan lebih perlahan pada 4.0 hingga 5.0 peratus.
Agensi penarafan itu berkata, permintaan domestik akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan 2023, disokong oleh pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan langkah sokongan dasar sedia ada.
Katanya, tekanan harga yang ketara dan pengetatan dasar monetari berkemungkinan akan menjejaskan perbelanjaan pengguna.
RAM Ratings berkata, inflasi utama dijangka kekal meningkat 2.7 peratus pada 2023 (2022: 3.3 peratus), walaupun ia masih tertakluk kepada perubahan dasar dalam subsidi domestik dan harga komoditi global tahun hadapan.
Ia turut menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekurang-kurangnya 25 mata asas lagi pada 2023 untuk membawa kadar dasar kembali ke tahap pra-pandemik sebanyak 3.0 peratus.
Jelasnya, peningkatan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh dan ketidaktentuan politik di dalam negara boleh menambah tekanan kepada pertumbuhan negara pada 2023.
Pulangan perjalanan dan pelancongan antarabangsa yang lebih cepat daripada jangkaan adalah potensi peningkatan kepada pertumbuhan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Economist Intelligence Corporate Network Asia Tenggara, Sumana Rajarethnam berkata, pihaknya menjangkakan ekonomi global akan terus menghadapi masalah besar pada 2023, terutamanya akibat daripada pencerobohan Russia ke atas Ukraine, pengetatan monetari global dan kelembapan ekonomi di China.
“Perang itu menjejaskan ekonomi global melalui harga komoditi yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan bekalan tenaga Rusia.
“Keadaan itu akan berterusan sepanjang 2023, kerana Unit Perisikan Ekonomi (EIU) menjangkakan perang akan menjadi konflik sempadan yang berlarutan,” katanya. – UTUSAN










