PETALING JAYA: Malaysia Airlines telah dianugerahkan sebagai syarikat penerbangan dengan Keselesaan Tempat Duduk Terbaik di Asia Timur pada Anugerah Pilihan Penumpang Airline Passenger Experience Association (APEX) 2023.
Anugerah tersebut disampaikan dalam satu majlis yang diadakan semasa Persidangan Pengalaman Perjalanan Masa Depan APEX Asia 2022 di Singapura pada Khamis.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Lau Yin May berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah itu kerana ia didorong oleh
penumpang yang mana kepercayaan, sokongan dan maklum balas membolehkan syarikat terus memberikan nilai tambah.
Katanya, anugerah tersebut bukti usaha dan dedikasi syarikat dalam menyampaikan pengalaman hujung ke hujung yang tidak dapat dilupakan untuk semua penumpang yang mengutamakan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan.
“Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami berbangga untuk membawa hospitaliti Malaysia yang unik kepada dunia.
“Kami ingin memastikan bahawa penumpang mempunyai perjalanan yang selesa dan memuaskan selaras dengan kempen jenama kami ‘This is Malaysian Hospitality’.
“Sebahagiannya melalui pengalaman dalam penerbangan di mana tempat duduk di semua kelas kabin kami direka untuk memberikan keselesaan, ruang dan kemudahan sebagai prinsip utama dalam tawaran perkhidmatan penuh kami,” katanya dalam kenyataan.
Bekerjasama dengan TripIt® daripada Concur®, aplikasi penganjur perjalanan yang dinilai tertinggi di dunia, Anugerah Pilihan Penumpang APEX mengumpulkan maklum balas penumpang daripada lebih satu juta penerbangan dan hampir 600 syarikat penerbangan dari seluruh dunia.
Penilaian tanpa nama tersebut melibatkan lima subkategori iaitu keselesaan tempat duduk, perkhidmatan kabin, makanan dan minuman, hiburan dan Wi-Fi. – UTUSAN










