Malaysia Airlines gantung laluan Kuala Lumpur-Brisbane

Malaysia Airlines gantung laluan Kuala Lumpur-Brisbane

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airlines akan menggantung laluan penerbangannya bagi Kuala Lumpur-Brisbane berkuat kuasa 27 Mac 2023.

Menurut syarikat penerbangan negara itu, penggantungan tersebut berikutan pelaksanaan langkah rasionalisasi laluan sebagai sebahagian daripada kajian semula perniagaannya yang berterusan.

Katanya, operasi penerbangan tanpa henti antara Kuala Lumpur ke empat destinasi Australia sedia ada lain iaitu Adelaide, Sydney, Perth, dan Melbourne akan diteruskan tanpa perubahan iaitu melibatkan sehingga 43 perkhidmatan terus seminggu antara Australia dan Malaysia.

Pelanggan yang melancong ke Brisbane boleh memanfaatkan perkongsian kod Malaysia Airlines dan rakan kongsi Oneworld, Qantas untuk menyambung perjalanan dari Sydney dan Melbourne ke Brisbane selepas penggantungan penerbangan terus itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail berkata, keputusan sukar untuk pengantungan tersebut dibuat setelah semakan perniagaan menyeluruh diadakan.

“Keputusan sukar ini dilakukan bagi memastikan kami beroperasi dan menggunakan armada pada tahap optimum serta memaksimumkan hasil pada setiap laluan yang kami tuju, sambil menghadapi halangan yang kuat daripada peningkatan berterusan dalam kos bahan api, pertukaran mata wang asing dan kadar faedah.

“Tempahan hadapan kami ke bandar raya Australia yang lain adalah sangat menggalakkan dengan permintaan yang kukuh sehingga dan selepas suku pertama 2023, dengan tempahan hadapan jauh lebih awal daripada tempoh yang sama pada 2019.

“Kami kekal fokus untuk meningkatkan rangkaian kami untuk mencapai pemulihan sepenuhnya menjelang 2024,” katanya, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat telah menggunakan kapasiti pada 76 peratus sejak awal tahun dan menjangkakan menamatkan tahun ini dengan kapasiti 82 peratus tahap pra pandemik di seluruh rangkaian.

“Namun, Australia telah pulih lebih cepat dan tidak termasuk penggantungan Brisbane, rangkaian Australia Malaysia Airlines akan berada pada kapasiti 98 peratus pada tahap pra pandemik menjelang Mac 2023.

“Tahun ini kami menambah destinasi baharu dari Kuala Lumpur ke Doha, Haneda dan Yogyakarta serta dari Kota Kinabalu ke Singapura dan akan terus meneroka pasaran yang memacu pertumbuhan ekonomi negara, sambil membantu perniagaan dan perdagangan,” ujarnya.

Tambah beliau, syarikat kekal teguh dalam matlamat jangka panjang mereka untuk memacu pertumbuhan dalam setiap aspek perniagaan untuk kekal relevan dalam pasaran.

Jelasnya, Malaysia Airlines terus mengekalkan kesalinghubungan yang stabil antara Malaysia dan Australia dan membina semula trafik antara kedua-dua negara dengan pantas untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyokong perniagaan dan perdagangan.

Menurutnya, penerbangan terakhir pada laluan ini akan berlepas dari Brisbane ke Kuala Lumpur pada 26 Mac 2023 menggunakan pesawat MH134. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN