Mah Sing raih untung RM196.2 juta

Mah Sing raih untung RM196.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) meraih keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM196.2 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 berbanding RM166.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil turut meningkat sebanyak 35 peratus kepada RM1.65 bilion dalam tempoh tinjauan berbanding RM1.22 bilion dalam sembilan bulan pertama 2021.

Kumpulan merekodkan jualan hartanah baharu yang lebih tinggi sebanyak RM1.69 bilion untuk tempoh tersebut, melonjak 32 peratus berbanding RM1.28 bilion tahun lepas.

Selain itu, Kumpulan turut mencapai RM640 juta jualan baharu pada suku ketiga 2022, jualan suku tahunan tertinggi direkodkan sejak 2017.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, prestasi jualan yang baik dalam jualan hartanah baharu disokong pelancaran projek baharu yang berterusan di bawah pembangunan mampu milik M Series.

“Tumpuan strategik pada pembangunan mampu milik M Series dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meletakkan Kumpulan di tahap yang baik untuk menguasai pasaran pembeli rumah pertama yang berdaya tahan.

“Kami akan mengekalkan disiplin dalam pelaksanaan untuk momentum berterusan dalam hasil dan pendapatan penghantaran serta penjanaan aliran tunai percuma,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Mah Sing merancang untuk melancarkan M Astra di Setapak, iaitu kediaman bertingkat berharga daripada RM399,000 menjelang suku keempat 2022 selain M Nova di Kepong, Fasa 3 M Senyum di Salak Tinggi, Fasa 1B M Panora di Rawang, dan Meridin Timur di Johor Bahru.

“Kami percaya sekarang masih masa yang baik untuk pembeli rumah kali pertama kerana membeli harta adalah perlindungan terbaik terhadap inflasi dan produk Mah Sing adalah terutamanya untuk pelanggan yang membeli untuk tinggal sendiri,” ujarnya.

Setakat 30 September 2022, segmen pembangunan hartanah merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM247.5 juta dengan hasil RM1.3 bilion, masing-masing 30.8 peratus dan 41.3 peratus lebih tinggi daripada keuntungan operasi dan hasil yang dicatatkan setahun lalu.

Hasil dan keuntungan operasi yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh jualan hartanah yang lebih tinggi dan pengiktirafan hasil projek hartanah dalam pembinaan.

Projek pembangunan yang menjadi penyumbang utama pendapatan termasuk M Vertica di Cheras, M Arisa di Setapak, M Luna di Kepong, M Aruna di Rawang, Meridin Timur di Johor, M Oscar di Sri Petaling, M Adora di Wangsa Melawati dan Southville City di KL Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN