PETALING JAYA: Lima pameran perdagangan antarabangsa berskala besar yang bakal berlangsung serentak di ibu negara pada 1 hingga 4 Disember ini dijangka mampu menjana transaksi sehingga RM200 juta.
Acara berkenaan terdiri daripada Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) ke-17; Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-33 (MIMF), Cross-Border E-Commerce-Southeast Asia (CBEC-ASIA) dan Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia Ke-17 (IBS) yang berlangsung 1 hingga 3 Disember di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).
Turut berlangsung adalah Pameran Penjenamaan Malaysia Pertama (MyBrands) yang diadakan bersama Pameran Antarabangsa Perdagangan Zhejiang (Malaysia), Pameran Eskport Zhejiang 2022 yang berlangsung di pada 2 hingga 4 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
Presiden Persatuan Perhubungan Perdagangan Antarabangsa China Malaysia (Macita), Datuk Chong Chong Tik berkata, kedua-dua lokasi pameran tersebut masing-masing dijangka menjana transaksi sebanyak RM100 juta.
Katanya, nilai tersebut adalah berdasarkan jumlah transaksi yang berjaya dijana melalui acara yang sama dari tahun-tahun sebelumnya.
“Sebanyak 300 syarikat atau pempamer tempatan dan luar negara terutamanya daripada China terlibat dalam pameran melibatkan sehingga 450 gerai pameran di MITEC.
“Sementara itu, KLCC pula akan menempatkan 200 pempamer dengan kira-kira 230 gerai pameran,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pameran-pameran tersebut di MITEC di sini hari ini.
Sementara itu, Chong Tik berkata, antara pempamer yang terlibat terdiri daripada pelbagai negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Singapura, Jerman, Bangladesh, Iran, Taiwan dan Sepanyol.
Menurutnya, apa yang menarik pada pameran kali ini adalah, syarikat-syarikat yang tidak dapat hadir ke pameran tersebut juga dapat menyertainya secara atas talian.
“Mungkin ada sesetengah syarikat tidak dapat hadir disebabkan oleh kekangan sekatan perjalanan di negara mereka akibat Covid-19 atau kekangan yang lain. Tetapi mereka masih boleh turut serta secara maya,” ujarnya. – UTUSAN










