PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan parti-parti politik agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti negara itu sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula 5 hingga 18 November ini.
Larangan itu termasuk menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, perbuatan itu boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik.
Katanya, ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa.
“Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan.
Wan Nazmy turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.
Menurutnya, tindakan itu menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.
“Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin, akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.
“Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya. – UTUSAN








