`Kurangkan ‘politiking’, beri tumpuan ekonomi'

`Kurangkan ‘politiking’, beri tumpuan ekonomi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kurangkan ‘politiking’ dan beri tumpuan untuk menghadapi ekonomi yang lebih mencabar pada tahun depan,”

Demikian gesaan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin kepada parti-parti politik yang masih belum dapat membentuk kerajaan baharu setelah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu gagal mendapat majoriti mudah.

Beliau berharap, perbincangan dapat ditamatkan secepat mungkin supaya kerajaan baharu yang kukuh dapat ditubuhkan yang sekali gus mengembalikan keyakinan pelabur.

“Ketidakstabilan politik boleh memberi kesan kepada ekonomi kerana pelabur hanya akan membuat keputusan selepas kerajaan ditubuhkan. Setelah kerajaan baharu ditubuhkan, mereka juga akan menganalisa sama ada akan terus melabur di sini atau pindah ke negara lain.

“Kami bimbang ketidaktentuan ini akan memburukkan perkembangan ekonomi yang sudah dijangka perlahan pada suku keempat ini.Gabungan kerajaan baharu yang akan terbentuk nanti haruslah mendapat lebih daripada dua pertiga bagi menjamin kestabilan.

“Pelabur asing tidak akan berasa selesa dengan keadaan ini apabila kerajaan tidak mendapat mandat yg sepenuhnya daripada rakyat dan masih lagi tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, ekonomi negara pastinya akan terjejas sekiranya ketidaktentuan ini berterusan, tambahan pula ketika keadaan ekonomi masih tidak menentu.

“Kami berharap kemelut dan ketidaktentuan politik dapat diselesaikan secepat mungkin. Perniagaan dan pelabur memerlukan kestabilan politik dan ketentuan hala tuju dan dasar untuk menentukan tahap pelaburan mereka.

“Harapan kami supaya semua pemimpin politik yang terlibat segera membentuk kerajaan baharu supaya kami dapat meneruskan proses pemulihan ekonomi negara.

“Selain kestabilan, kami berharap kerajaan baharu adalah sebuah kerajaan yang bervisi jauh dan dapat memberi idea baharu supaya negara dapat bersaing dengan jiran serantau di dalam era baharu pasca pandemik ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN