Kumpulan UMW catat jualan 4% lebih tinggi pada Oktober

Kumpulan UMW catat jualan 4% lebih tinggi pada Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan automotif Kumpulan UMW meningkat pada Oktober 2022 dengan kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan yang lebih tinggi.

Hasil daripada peningkatan pengeluaran untuk memenuhi tempahan tertunggak yang menggalakkan, kumpulan mencatatkan jualan sebanyak 35,130 unit pada Oktober 2022, iaitu 4.0 peratus lebih tinggi berbanding 33,859 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya.

Justeru, untuk sepuluh bulan pertama tahun ini, Kumpulan UMW mencatatkan jualan sejumlah 302,356 unit, iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada 201,569 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun 2021 yang terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021.

Menurut kenyataan, UMWT mencapai jualan tertinggi 2022 dengan penjualan kenderaan sebanyak 9,281 unit pada Oktober 2022, sedikit peningkatan berbanding 9,233 unit yang didaftarkan pada September 2022.

“Setakat Oktober 2022, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 80,153 unit, peningkatan sebanyak 47 peratus berbanding 54,618 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama 2021.

“Untuk memperbaharui barisan modelnya, UMWT melancarkan Toyota Veloz serba baharu pada 18 Oktober yang merupakan satu kejayaan dalam pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen B Malaysia selepas Toyota Avanza,” katanya.

Momentum jualan Perodua juga terus kukuh dengan pendaftaran kenderaan sebanyak 25,849 unit pada Oktober 2022, iaitu 5.0 peratus lebih tinggi berbanding 24,626 unit l didaftarkan pada September 2022.

Tiga model terlaris Perodua pada bulan Oktober ialah Bezza, diikuti Myvi dan Axia.

Bagi sepuluh bulan pertama tahun 2022, jualan Perodua melonjak sebanyak 51 peratus kepada 222,203 unit, berbanding 146,951 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Perodua yakin untuk mencapai sasaran jualannya sebanyak 247,800 unit untuk 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya menjangkakan momentum jualan akan terus kukuh terutamanya dalam masa dua bulan terakhir tahun ini dengan adanya promosi akhir tahun.

“Disokong oleh pesanan yang menggalakkan dan rantaian bekalan yang bertambah baik, kedua-dua syarikat akan terus mempergiatkan pengeluaran untuk memenuhi tempahan pelanggan.

“Selain itu, dengan perkara diluar jangkaan yang semakin pulih, kami yakin dapat mencapai sasaran jualan kami untuk tahun ini.  Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan berterusan terhadap produk dan perkhidmatan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN