Kumpulan BIMB catat PBZT RM559.6 juta tempoh 9B2022

Kumpulan BIMB catat PBZT RM559.6 juta tempoh 9B2022

MOHD. MUAZZAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) berjumlah RM559.6 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2022 (9B2022), menyusut 10.9 peratus atau RM68.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut BIMB, prestasi itu diterjemahkan kepada pendapatan sesaham Kumpulan sebanyak 17.02 sen dan pulangan teras atas purata ekuiti (ROE) bersih tahunan sebanyak 7.6 peratus.

Berikutan aktiviti ekonomi bertambah baik, katanya, Kumpulan mencatat PBZT sebanyak RM219.0 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 (S32022).

“Ia merupakan peningkatan ketara dalam PBZT iaitu 43.3 peratus berbanding suku sama tahun lepas (S32021) yang direkodkan sebanyak RM152.8 juta serta kenaikan 20.9 peratus berbanding RM181.2 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (S22022).

“Sebahagian besar daripada pengukuhan ini disumbangkan oleh pendapatan bersih lebih tinggi dan peruntukan bersih lebih rendah untuk pembiayaan dan pendahuluan,” katanya dalam kenyataan.

BIMB berkata, jumlah aset Kumpulan meningkat tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 12.9 peratus kepada RM86.2 bilion pada  akhir September 2022.

Jelasnya, pembiayaan kasar meningkat 9.1 peatus y-o-y kepada RM62.1 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah RM72.3 bilion, dengan kenaikan y-o-y sebanyak RM7.9 bilion atau 12.2 peratus.

Tambahnya, jumlah akaun pelaburan semasa, simpanan dan transaksi (CASATIA) telah meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM26.0 bilion.

“Komposisi ini berada pada paras sihat sebanyak 36.0 peratus daripada jumlah deposit pelanggan dan akaun pelaburan. Nisbah Jumlah Modal Kumpulan kekal kukuh pada 20.4 peratus bersandarkan sokongan kecairan yang sihat,” katanya.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, dalam merealisasikan matlamat Kumpulan untuk sentiasa bersedia demi masa hadapan, Kumpulan telah memulakan fasa kedua Pelan Tindakan IT empat tahun untuk meningkatkan cara kerja.

“Langkah tersebut membolehkan kami mengukuhkan infrastruktur teknologi maklumat (IT) dengan berkesan sambil memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman pelanggan dan menyampaikan objektif perniagaan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada langkah kemampanan dan komitmen ESG, BIMB sedang mengembangkan portfolio pembiayaan hijau dan meluaskan pendedahannya kepada segmen mesra alam baharu seperti kecekapan tenaga, pemeteran tenaga bersih, automasi pejabat dan pengurusan sisa.

Mohd. Muazzam berkata, sehingga kini, Kumpulan telah meluluskan kira-kira RM2.9 bilion dalam pembiayaan hijau untuk projek-projek tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa mampan, pengangkutan awam dan pembuatan hijau.

“Bank Islam (Bank) telah menetapkan sasaran RM4 bilion untuk meningkatkan portfolio pembiayaan hijaunya menjelang tahun 2025.

“Untuk mencapai matlamat ini, BIMB giat memperkukuhkan segmen pembiayaan iklim dengan membangunkan produk-produk bersasar termasuk pembiayaan terhadap usaha peralihan rendah karbon PKS dan pembiayaan berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk syarikat-syarikat korporat yang mengalihkan operasi perniagaannya ke arah rendah karbon,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN