KUALA LUMPUR: Ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh 14.2 peratus pada suku ketiga (S3) 2022, berbanding 8.9 peratus yang direkodkan pada suku kedua, didorong oleh kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga 2021.
Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2021. Penguncupan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang ketat terutamanya pada Julai, di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam reaksinya berkata, ekonomi Malaysia terbukti berada di landasan betul apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) direkodkan meningkat kepada 14.2 peratus berbanding lima peratus dan 8.9 peratus masing-masing pada suku pertama dan kedua.
Menurut beliau, kadar pengangguran juga menunjukkan penurunan iaitu 3.6 peratus pada September berbanding 3.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Saya hendak buktikan bahawa tuduhan-tuduhan yang mengatakan kerajaan gagal memulihkan ekonomi dan sebagainya adalah tuduhan yang tidak berfakta sedangkan kita membuktikan berlaku peningkatan yang mendadak dalam KDNK negara,” kata beliau pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok di sini semalam.
Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pertumbuhan KDNK sehingga 14.2 peratus pada suku ketiga itu didorong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar yang berterusan.
Menurut beliau, eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pemulihan pelancongan ke dalam negara memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.
DIDORONG
Kata Nor Shamsiah, mengikut sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.
“Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.9 peratus (S2 2022: 3.5 peratus). Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3 peratus pada tiga suku pertama 2022.
“Saya yakin jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini akan melepasi tujuh peratus, lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini,” kata beliau pada sidang akhbar pengumuman KDNK suku ketiga 2022 di Sasana Kijang di sini semalam.
Kata beliau, inflasi keseluruhan pada tahun ini mungkin telah mencapai tahap tertingginya iaitu 4.5 peratus pada suku ketiga (S2 2022: 2.8 peratus) manakala inflasi asas terus meningkat kepada 3.7 peratus (S2 2022: 2.5 peratus).
Jelasnya, seperti yang dijangka, peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021 serta peningkatan berterusan dalam inflasi teras dan barangan yang harganya tidak menentu.
TEKANAN
Nor Shamsiah berkata, tekanan inflasi mencerminkan gabungan tekanan kos yang meningkat khususnya untuk barangan berkaitan makanan serta keadaan permintaan yang kukuh.
“Nilai ringgit menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku ketiga, sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5 peratus.
“Namun, pertumbuhan dalam negara yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit,” ujarnya.
Beliau berkata, kadar pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan mencerminkan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas, namun pertumbuhan bagi 2022 dijangka kekal kukuh berikutan pertumbuhan yang kukuh pada tiga suku pertama tahun ini.
“Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak empat hingga lima peratus pada 2023, disokong oleh permintaan dalam negara yang kukuh berikutan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik.
“Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar serta jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih terdedah pada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu,” jelasnya.- UTUSAN










