PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga diunjurkan kukuh sekitar 10 peratus, lebih tinggi daripada 8.9 peratus pada suku kedua berikutan momentum pengukuhan dalam ekonomi dan kesan asas yang rendah berbanding tahun sebelumnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, sektor pembuatan melibatkan eksport serta elektrik dan elektronik (E&E) akan terus menjadi pemacu utama pada pertumbuhan.
Katanya, permintaan domestik juga terus mengukuh daripada suku kedua sehinggalah ke suku ketiga.
“Untuk keseluruhan tahun, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mampu mencapai sehingga 6.8 peratus, lebih tinggi daripada sasaran kerajaan iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus.
“Walau bagaimanapun, suku keempat mungkin menyaksikan pertumbuhan yang lebih sederhana iaitu di bawah lima peratus. Ini kerana, kita sudah mula peralihan kepada normalisasi dan jangkaan eksport yang lebih rendah disebabkan ekonomi global yang semakin perlahan,” katanya.
Tambahnya, ekonomi global dijangka perlahan disebabkan oleh peningkatan kadar faedah di seluruh dunia, peningkatan inflasi dan ketidaktentuan akibat perang antara Rusia dan Ukraine.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran RHB Investment Bank Bhd (RHB IB), Dr. Sailesh K Jha dalam nota penyelidikannya menjangkakan Malaysia akan mengelak kemelesetan teknikal dengan KDNK diunjurkan antara 10 hingga 12 peratus pada suku ketiga tahun ini.
“Kami juga menyemak semula anggaran pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun ini kepada tujuh peratus tahun ke tahun daripada enam peratus sebelum ini, berdasarkan perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku ketiga dan daya tahan pengguna pada suku keempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kitaran perniagaan Malaysia menuju ke arah kitaran perlahan untuk tiga suku akan datang iaitu suku keempat 2022 hingga separuh pertama tahun depan.
“Kami tidak menjangkakan kemelesetan teknikal di kaki langit. Anggaran kami untuk trend pertumbuhan KDNK Malaysia adalah sekitar lima peratus. Pada separuh kedua 2023, kami menjangkakan pemulihan dalam pertumbuhan KDNK dipacu oleh pengguna,” jelasnya.
Tambahnya lagi, terdapat risiko untuk Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada setiap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada separuh pertama 2023 kepada 3.5 peratus. – UTUSAN










