PETALING JAYA: AmBank Group Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga (S3) 2022 sebanyak 12.2 peratus, lebih tinggi dari 8.9 peratus yang dicapai pada suku kedua.
Ketua Ekonomi dan Penyelidikannya, Dr. Anthony Dass berkata, pihaknya juga mengekalkan unjuran KDNK sepanjang tahun pada 7.5 peratus.
Menurutnya, pertumbuhan tersebut disokong oleh angka pengeluaran perindustrian (IP) terkini yang terus mengembang sebanyak dua digit selain eksport dan penggunaan swasta yang lebih kukuh.
“IP Malaysia pada September berkembang sebanyak 10.8 peratus tahun ke tahun, pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya iaitu 13.5 peratus tahun ke tahun.
“Ini menjadikan pertumbuhan IP setakat ini kepada 7.9 peratus berbanding 8.8 peratus pada 2021,” ujarnya dalam Sorotan Ekonomi firma itu.
Sementara itu, pakar ekonomi ketika dihubungi Utusan Malaysia menjangkakan KDNK S3 antara 7.8 hingga 8.1 peratus dipacu oleh permintaan domestik dan momentum dalam fasa pemulihan.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kadar tersebut lebih rendah berbanding 8.9 peratus yang dicapai pada suku kedua kerana suku pertama dan kedua menggambarkan peralihan daripada kepompong kemelesetan.
Katanya, ia menjadikan peratus pertumbuhan sebelum ini nampak lebih besar kerana ekonomi negara dalam proses kembali kepada normal.
“Bagi suku ketiga kita ada asas yang besar. Jika kita lihat pada angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran telah menurun kepada 3.6 peratus yang bermakna kita akan guna tenaga penuh.
“Pada suku keempat pula kita akan meneruskan normalisasi dan pertumbuhan mungkin lebih rendah dari suku ketiga. Namun saya yakin pertumbuhan keseluruhan tahun boleh dicapai antara 5.8 hingga enam peratus,” katanya.
Sementara itu, Dass berkata, Oktober mungkin melihat aktiviti pembuatan yang lebih sederhana, mengambil petunjuk daripada penguncupan ketara Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan baru-baru ini dan kesan asas yang lebih tinggi.
“Bacaan keseluruhan turun kepada 48.7 pada Oktober daripada 49.1 bulan sebelumnya disebabkan oleh kemerosotan dalam keadaan pasaran global dan permintaan pelanggan yang lesu.
“Melihat kepada subsegmen sektor pembuatan, pengeluaran peralatan pengangkutan dan pembuatan lain meningkat sebanyak 21.6 peratus tahun ke tahun berbanding 55.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022.
“Sementara itu, kayu, perabot, produk kertas dan pencetakan mengembang 8.7 peratus tahun ke tahun (Ogos 2022: 16.6 peratus tahun ke tahun),” jelasnya. – UTUSAN










