KDNK dijangka tumbuh 9 peratus pada suku ketiga

KDNK dijangka tumbuh 9 peratus pada suku ketiga

OPR kekal tiga peratus setakat tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak sembilan peratus pada suku ketiga (S3) tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sektor pembuatan terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), komoditi dan sektor perkhidmatan dijangka terus menjadi penyumbang utuma.

Katanya, pertumbuhan bagi suku ketiga tahun ini dijangka hampir sama dengan suku kedua yang mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus kerana KDNK negara bagi suku kedua dan ketiga pada tahun lalu mencatatkan jumlah yang hampir sama iaitu sekitar RM336 billion.

“Oleh itu, apabila melihat jumlah eksport pada suku kedua dan ketiga, disamping harga komoditi minyak yang kekal tinggi, saya menjangka pertumbuhan KDNK suku ketiga tidak banyak berubah dari pertumbuhan suku sebelumnya.

“Pertumbuhan itu sejajar dengan unjuran kerajaan untuk keseluruhan tahun KDNK sekitar 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual akan mengumumkan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Ketiga 2022 pada 11 November ini.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2022.

Pada suku pertama, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2021.

Mengulas mengenai kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terhadap KDNK negara, Ahmed Razman berkata, kenaikan tersebut akan menyaksikan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan pada suku keempat.

“KDNK akan mulai perlahan pada suku keempat tahun ini yang mungkin hanya akan mengalami pertumbuhan yang agak minima sekitar dua hingga tiga peratus sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga dijangka lebih rendah daripada suku sebelumnya iaitu sekitar enam hingga tujuh peratus.

Menurutnya, pertumbuhan pada suku ketiga masih mengikut momentum pada suku kedua kerana kegiatan ekonomi terus bergiat aktif.

“Namun begitu, tiada suntikan tunai pada skala suku kedua lalu seperti perbelanjaan Hari Raya dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menjadikan kegiatan ekonomi domestik sedikit perlahan.

“Walau bagaimanapun, lebihan dagangan terus meningkat dgndengan peningkatan eksport negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN