PETALING JAYA: Honda Malaysia melancarkan Civic e:HEV RS, varian tambahan dalam Civic yang dikuasakan powertrain 2.0L e:HEV baharu iaitu pertama untuk Civic dan Honda Malaysia dijual pada harga RM166,500 di atas jalan.
Melengkapkan kejayaan Civic generasi ke-11, Civic e:HEV RS juga menyertai barisan model Honda e:HEV yang semakin berkembang termasuk City, City Hatchback dan All-New HR-V.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, Civic generasi ke-11 yang memasuki pasaran Malaysia pada awal tahun ini mendapat sambutan hebat dengan hampir 7,000 unit terjual sehingga kini.
Katanya, model tersebut juga mencapai kedudukan nombor satu dalam segmennya dengan 81 peratus penguasaan pasaran sehingga September.
“Hari ini, kami berbesar hati memperkenalkan varian baharu, Civic e:HEV RS yang menjanjikan pengalaman pemanduan yang unggul untuk pelanggan Civic. Teknologi hibrid Honda bukanlah perkara baharu kepada Honda Malaysia.
“Kami menjadi perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid kepada rakyat Malaysia pada tahun 2007 apabila kami melancarkan Civic Hybrid yang pertama. Sejak itu, kami telah maju dalam teknologi hibrid,” katanya semalam.
Sementara itu, beliau memberitahu, pengenalan rangkaian pwertrain e:HEV diterima baik di pasaran Malaysia.
Menurutnya, dari Januari hingga Oktober, City e:HEV RS telah menyumbang lima peratus diikuti oleh City Hatchback e:HEV RS (lapan peratus) dan HR-V e:HEV RS (11 peratus) yang dilancarkan baru-baru ini juga mendapat sambutan positif daripada pelanggan.
Beliau berkata, powertrain e:HEV menggabungkan dua motor elektrik yang memberikan prestasi yang menarik dan berkuasa untuk kereta hibrid pemanduan harian.
“Ia digandingkan dengan Penghantaran Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT) dan Unit Kuasa Pintar (IPU).
“Prestasi powertrain 2.0L e:HEV baharu ini menjanjikan pemanduan tunggangan yang menggembirakan melalui output kuasa maksimum 184PS dan tetapan penanda aras tork 315Nm yang tiada tandingan dalam segmennya dan setanding dengan model segmen D,” ujarnya.
Tambahnya, Civic e:HEV RS ditawarkan dalam warna merah Ignite , kelabu Meteoroid, putih Platinum Pearl dan hitam Crystal Pearl. – UTUSAN










