HLFG catat PATAMI RM681.7 juta, meningkat 6.4 peratus

HLFG catat PATAMI RM681.7 juta, meningkat 6.4 peratus

Hong leong
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Financial Group Berhad (HLFG) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM681.7 juta, peningkatan 6.4 peratus bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 berbanding suku sama tahun lalu.

Ia disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian perbankan komersial, Hong Leong Bank Berhad (HLB) manakala bahagian insurans, HLA Holdings Sdn. Bhd. (HLAH) dan bahagian perbankan pelaburan, Hong Leong Capital Berhad (HLCB) mencatatkan caruman yang lebih rendah.

Pendapatan bersih daripada perniagaan perbankan Islam dan Takaful bagi tempoh tersebut juga meningkat 24.9 peratus tahun ke tahun kepada RM296.4 juta, manakala perniagaan Islam menyumbang 12.3 peratus kepada jumlah keuntungan sebelum cukai Kumpulan HLFG.

Nilai buku sesaham meningkat daripada RM21.41 pada 30 Jun 2022 kepada RM21.68 pada 30 September 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Financial Group, Tan Kong Khoon berkata, melihat ke hadapan, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan berikutan peningkatan aktiviti ekonomi yang disokong  pertumbuhan eksport yang teguh, peningkatan prestasi dalam sektor perkhidmatan dan pemulihan dalam sektor pembuatan.

“Bagaimanapun, momentum pemulihan terus menghadapi pelbagai halangan makroekonomi dan luaran yang terdiri daripada tekanan inflasi yang tinggi, kesan dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan risiko kemelesetan ekonomi global.

“Justeru, kami akan berhati-hati terhadap risiko ini dan optimis bahawa ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan di tengah-tengah latar belakang global yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Bagi perbankan komersial, HLB mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM981.4 juta bagi tempoh tersebut, peningkatan sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun, disokong oleh jumlah pertumbuhan pendapatan 8.7 peratus, kawalan kos berhemat dan sumbangan kukuh daripada syarikat bersekutu.

Perbelanjaan operasi Bank (OPEX) kekal diuruskan secara berhemat dengan Nisbah Kos Kepada Pendapatan (CIR) sebanyak 36 peratus, disumbangkan oleh usaha pendigitalan perniagaan operasi dan pengurusan kos yang berkesan.

Pinjaman dan pembiayaan kasar meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM169.5 bilion diterajui oleh pengembangan dalam segmen utama gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial, serta operasi luar negara.

Sementara itu, Hong Leong Assurance Berhad (HLAH) HLAH mencatat keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM54.5 juta, lebih rendah sebanyak 40 peratus tahun ke tahun kerana  kerugian penilaian pasaran yang lebih tinggi ke atas pelaburan semasa.

Selain itu, pelaburan perbankan Hong Leong Capital Berhad (HLCB) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM16 juta, penurunan sebanyak 44.4 peratus berbanding tahun lalu disebabkan sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada bahagian perniagaan perbankan pelaburan, pembrokeran saham dan pengurusan dana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN