PETALING JAYA: Pemegang kad Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) boleh menikmati pengalaman pembayaran tanpa sentuh yang mudah, selamat dan lancar dengan Google Wallet mulai hari ini.
Langkah tersebut membolehkan pelanggan kad kredit dan debit HLB menambah kad pembayaran mereka pada platform Android sebahagian daripada usaha bank untuk melaksanakan satu lagi cara mudah untuk membolehkan pembayaran mudah alih.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya teruja menjadi bank pertama yang menyokong Google Wallet untuk kad mereka, selaras dengan etos bank iaitu “Digital at the Core”.
“Dengan penggunaan pantas kod QR DuitNow, aplikasi perbankan mudah alih dan dompet mudah alih, pembayaran mudah alih telah disepadukan dengan lancar ke dalam gaya hidup digital rakyat Malaysia dan merupakan salah satu kaedah transaksi pilihan hari ini.
“Bekerjasama dengan Google adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menawarkan perkhidmatan pembayaran yang mudah dan tanpa geseran kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Semtara itu, beliau berkata, pemegang kad HLB dapat membuat pembayaran tanpa sentuh dengan memanfaatkan komunikasi medan dekat (NFC) melalui peranti Android yang disokong dengan menambahkan kad HLB mereka ke aplikasi Google Wallet.
Jelasnya, pemegang kad kemudian boleh memlih untuk membayar di mana-mana sahaja tempah yang menerima pembayaran tanpa sentuh itu.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkata, penembusan telefon pintar di Malaysia hampir 95 peratus dan banyak aktiviti harian telah pun dipermudahkan secara digital.
“Dengan Google Wallet sebagai ciri baharu, hampir 65 peratus pelanggan kami yang menggunakan platform Android akan menikmati pengalaman penggunaan dan pembayaran yang mudah, selamat dan terjamin,” ujarnya.
Tambahnya, sama seperti transaksi tanpa sentuh yang dilakukan menggunakan kad fizikal, pembayaran melalui Google Wallet juga berkongsi jumlah maksimum harian yang sama untuk transaksi tanpa sentuhan.
Katanya, transaksi sehingga RM250 tidak memerlukan pengesahan PIN. – UTUSAN










