PETALING JAYA: Hasil Sunway Construction Group Berhad (Sunway Construction) melonjak 72.5 peratus tahun ke tahun kepada RM469.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 disokong oleh prestasi yang lebih baik merentas semua segmen.
Pada suku yang sama tahun sebelumnya, Kumpulan melaporkan hasil dan keuntungan sebelum cukai (PBT) masing-masing sebanyak RM272.1 juta dan RM24.5 juta.
Sejajar dengan itu, PBT Kumpulan melonjak 53.6 peratus tahun ke tahun kepada RM37.6 juta untuk tempoh yang sama.
“Hasil bagi segmen pembinaan meningkat daripada RM255.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021 kepada RM419.0 juta pada suku sama tahun semasa, peningkatan sebanyak 63.8 peratus tahun ke tahun.
“Prestasi yang lebih baik pada suku semasa adalah disebabkan normalisasi kerja pada kapasiti penuh selaras dengan peralihan ekonomi ke fasa endemik,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, pada suku yang sama tahun lepas, ekonomi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang beroperasi dalam keadaan terhad dan bergantung kepada kemajuan kadar vaksinasi.
Tambah syarikat pembinaan itu, PBT Kumpulan meningkat 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM35.0 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022, daripada RM26.9 juta pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan bagi segmen pratuang meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM50.3 juta bagi suku dalam tinjauan, berbanding RM16.3 juta pada suku yang sama pada tahun sebelumnya, jelasnya.
“Pusingan PBT kepada RM2.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022, daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021.
“Pada suku yang sama tahun lepas, prestasi kewangan terjejas teruk oleh penutupan kilang pratuang Kumpulan di Johor berikutan kadar vaksinasi yang lebih rendah dicapai di Johor,” tambahnya.
Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Liew Kok Wing berkata, pihaknya gembira prospek sektor pembinaan di Malaysia mencapai kemajuan yang munasabah dalam pelaburan infrastruktur mega serta peningkatan permintaan dalam e-dagang, pengkomputeran awan dan cip mikro yang telah menimbulkan keperluan untuk lebih banyak kilang, gudang dan pusat data di tengah-tengah kekurangan tenaga buruh asing.
“Kumpulan sentiasa optimistik untuk mencatat pertumbuhan positif pada tahun kewangan 2022 disokong oleh buku pesanan tertunggak kami yang kukuh,” katanya. – UTUSAN









