PETALING JAYA: Hasil sektor perkhidmatan pada suku ketiga 2022 melonjak sebanyak 32.3 peratus kepada RM517.4 bilion, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jumlah hasil bahi suku tahun pula mencatatkan pertumbuhan 2.2 peratus atau RM10.9 bilion.
Menurut DOSM, bilangan pekerja sektor perkhidmatan berjumlah 3.8 juta orang, meningkat 161,000 orang atau 4.4 peratus tahun ke tahun.
Jelasnya, gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM2.1 bilion atau 8.7 peratus tahun ke tahun, sementara pada suku ketiga, bayaran gaji dan upah meningkat 1.2 peratus kepada RM26.2 bilion.
“Pada masa yang sama, pendapatan e-dagang Malaysia merekodkan RM289.2 bilion, peningkatan 3.7 peratus tahun ke tahun. Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat sedikti pada 0.3 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan segmen, DOSM berkata, jumlah hasil segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan meningkat 33.4 peratus kepada RM417.8 bilion berbanding suku tahun ketiga 2021.
Kenaikan itu jelasnya, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit sebanyak RM97.2 bilion atau 32.3 peratus; makanan dan minuman (RM5 bilion/42 peratus) dan penginapan RM2.4 bilion/346.3 peratus).
Bagi penginapan, purata kadar penghunian (AOR) meningkat kepada 56.2 peratus berbanding 20.7 peratus pada suku ketiga tahun sebelumnya. Ia disebabkan oleh permintaan tinggi untuk penginapan di gunung/bukit (AOR: 91.4 peratus), pantai (AOR: 53.9 peratus) dan bandar (AOR: 48 peratus).
“Segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan peningkatan jumlah hasil kepada RM73.4 bilion atau 23.9 peratus tahun ke tahun. Peningkatan ini didorong oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan (RM11.8 bilion/ 55.3 peratus).
“Sejumlah RM15.9 bilion hasil telah dijana bagi segmen kesihatan, pendidikan dan kesenian; hiburan dan rekreasi dengan peningkatan 45.5 peratus berbanding suku tahun ketiga 2021.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi (RM3.7 bilion /515.5 peratus) dan kesihatan swasta (RM0.7 bilion/ 12.2 peratus),” katanya.
Bagi segmen profesional dan ejen hartanah pula, DOSM berkata, kedua-dua segmen ini mencatatkan hasil sebanyak RM10.3 bilion, tumbuh 37.3 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu katanya, didorong oleh subsektor profesional sebanyak RM2.7 bilion atau 37.9 peratus dan ejen hartanah (RM131.2 juta / 27.9 peratus).
Dalam pada itu, DOSM melaporkan peningkatan Indeks Volum Perkhidmatan (IVP) pada suku ketiga 2022 sebanyak 23.1 peratus kepada 140.4 mata berbanding 114.1 mata suku sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan positif bagi ke semua segmen dalam sektor perkhidmatan iaitu perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan (30 peratus); perkhidmatan perniagaan dan kewangan (15.7 peratus); maklumat dan komunikasi, pengangkutan dan penyimpanan (17.1 peratus) dan perkhidmatan lain (35.9 peratus).
Bagi perbandingan suku tahunan pula, IVP mengalami peningkatan 3.0 peratus kepada 140.4 mata berbanding 136.3 mata pada suku kedua 2022.
“Kenaikan ini hasil daripada peningkatan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan (1.9 peratus), perkhidmatan perniagaan dan kewangan (6.4 peratus), maklumat dan komunikasi, pengangkutan dan penyimpanan (1.5 peratus) dan perkhidmatan lain (3.4 peratus),” jelasnya. – UTUSAN










