PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad mengumumkan hasil tahun sehingga kini sebanyak RM544.76 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM69.5 juta dalam tempoh semasa berakhir 30 September 2022, masing-masing meningkat 10.33 dan 5.54 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.
Permintaan yang lebih tinggi daripada sektor kesihatan awam dan pasaran klasik beretika menyumbang kepada peningkatan hasil dan keuntungan sebelum cukai.
Pada suku tersebut, syarikat membayar dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham berjumlah kira-kira RM4.76 juta untuk tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar melahirkan keyakinan untuk prestasi yang memuaskan pada tahun 2022.
Ujarnya, ia berikutan permintaan kukuh daripada pasaran etika swasta dan sektor kesihatan awam, seterusnya disokong oleh momentum pertumbuhan positif dalam ekonomi Malaysia berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, walaupun tekanan margin pembuatan daripada dolar Amerika Syarikat yang kukuh.
“Tinjauan untuk Duopharma Biotech adalah positif berikutan penekanan berterusan yang diberikan oleh kerajaan terhadap sektor penjagaan kesihatan setiap tahun.
“Kami akan terus meneroka peluang baharu untuk mengembangkan portfolio produk kami dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan sebagai syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia dan mengukuhkan komitmen kami dalam sektor halal,” katanya.
Baru-baru ini, Duopharma Consumer Healthcare Sdn .Bhd., anak syarikat Duopharma Biotech, telah menandatangani Perjanjian Pengedaran Produk dengan syarikat teknologi sel stem yang berpangkalan di Korea Selatan, SCM Lifesciences Inc untuk mengedarkan rangkaian produk anti keguguran rambut yang disahkan halal jenama IRORO yang dirumus khas untuk pasaran Malaysia, memperluaskan penawarannya dalam segmen kosmeseutikal. – UTUSAN










