PETALING JAYA: Haily Group Berhad (Haily) telah memulakan siri aktiviti pemerkasaan masyarakat sebagai sebahagian daripada agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang lebih meluas.
Menurut Haily, pada suku akan datang, Kumpulan terbuka untuk memperuntukkan sumber kewangan dan bukan kewangan bagi menjalankan program sosial yang boleh meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Jelasnya, lanjutan daripada usaha ESG itu, Kumpulan telah menganjurkan Kempen Derma Darah 2022 semalam, dengan kerjasama Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Kempen Derma Darah berlangsung di Ibu Pejabat Haily di Kulai, Johor di mana sejumlah 51 paket darah telah dikumpulkan daripada penderma kebanyakannya terdiri daripada kaitangan Haily serta keluarga dan rakan-rakan mereka.
“Mereka yang mengambil bahagian dalam kempen itu juga termasuk pekerja dari kilang di kawasan kejiranan. Haily berharap dapat menyokong masyarakat dan membekalkan darah kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas usaha tersebut, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Kumulan Haily, See Tin Hai berkata, selama bertahun-tahun, Haily telah memainkan peranan penting dalam memajukan kebajikan awam.
Kata beliau, sebagai sebahagian daripada misi syarikat, Haily ingin mengekalkan hubungan yang berpanjangan dengan pelanggan dihormati, sambil mengekalkan piawaian tertinggi untuk alam sekitar, keselamatan dan kesihatan.
“Untuk mencapai matlamat ini, kami telah memutuskan untuk menambah baik agenda ESG Kumpulan, dengan itu, menganjurkan satu siri program sosial pada bulan-bulan akan datang. Yang pertama ialah kempen derma darah.
“Kerjasama dengan HSA ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan dan faedah derma darah serta menggunakannya untuk memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama menyumbang pada masa yang diperlukan bagi menambah kekurangan tabung darah yang berbaki dari tempoh pandemik,” katanya. – UTUSAN










