F&NHB, Cocoaland kembangkan bahagian pasaran makanan berbungkus - Utusan Malaysia

F&NHB, Cocoaland kembangkan bahagian pasaran makanan berbungkus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berikutan pemerolehan 100 peratus ekuiti dalam Cocoaland Holdings Bhd (Cocoaland) oleh Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB) pada 4 November lalu, Cocoaland kini merupakan anak syarikat milik penuh di bawah F&NHB. 

Pada 25 November 2022, Cocoaland telah dikeluarkan daripada senarai Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Menurut F&NHB dalam satu kenyataan, pemerolehan Cocoaland merupakan langkah strategik bagi merealisasikan matlamat jangka panjang Kumpulan untuk berkembang dalam segmen makanan berbungkus dan menyokong pertumbuhan bahagian makanan Halal F&NHB. 

Dengan selesainya urusniaga tersebut, F&N akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua buah organisasi untuk menghasilkan nilai yang segerak untuk para pemegang saham.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, pihaknya melihat potensi yang besar untuk mengembangkan bahagian pasaran Kumpulan dalam kategori ini, terutamanya dalam rangkaian kesihatan dan kefungsian.

“F&NHB merancang untuk menggunakan kekuatan Cocoaland dan melabur dalam jenama-jenama bagi memperkenalkan portfolio baharu seperti produk berasaskan tumbuhan dan kesihatan & kesejahteraan.

“Cocoaland membawa pelbagai sinergi kepada Kumpulan, dengan rangkaian produknya yang mempunyai laluan ke pasaran dan acara penggunaan yang sama seperti produk minuman dan tenusu F&N yang ada sekarang.

“Makanan ringan dan konfeksi popular Cocoaland juga menyokong F&N dan Sri Nona untuk mencipta portfolio yang lebih luas dan meningkatkan pengembangan Kumpulan di luar negara, terutamanya dalam pasaran halal.

“Di dalam negara, Cocoaland boleh memanfaatkan rangkaian pengedaran dan sinergi perolehan F&NHB yang meluas. 

“Sementara itu, Cocoaland menawarkan kapasiti untuk pengembangan yang mencukupi, dengan empat buah kilang pembuatan di Malaysia untuk menyokong perniagaan sedia ada dan pertumbuhan masa depan kami. 

“Sebagai contoh, Sri Nona akan menggunakan ruang berlebihan kilang untuk meningkatkan kapasiti yang sangat diperlukan untuk membuat ketupat, dan rangkaian minuman Cocoaland akan menghasilkan lebih banyak produk F&N,” katanya. 

Ujarnya, walaupun terdapat gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos barang jualan yang dihadapi oleh industri, Cocoaland telah mencapai pemulihan yang luar biasa berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2022 (S3TK22), Cocoaland mencatatkan hasil sebanyak RM71.7 juta, yang merupakan pertumbuhan 55.8 peratus tahun ke tahun, manakala keuntungan bersih melonjak kepada RM10.6 juta daripada RM4.1 juta pada tahun sebelumnya.

Keputusan suku ketiga Cocoaland adalah sejajar dengan prestasi F&NHB dalam tempoh yang sama untuk operasi Kumpulan di Malaysia.

“Matlamat jangka panjang Kumpulan untuk Cocoaland adalah untuk membina syarikat menjadi pengeluar gula-gula kenyal Asia Timur yang paling dikenali dan pengeluar produk coklat terkemuka di peringkat antarabangsa. 

“Dengan hubungan baik yang sedia ada dengan pengurusan Cocoaland dan suntikan pasukan baharu yang terdiri daripada pemimpin profesional dan berpengalaman ke dalam syarikat, kami optimistik untuk merebut peluang masa depan yang akan memacu pengembangan kami ke pasaran global dan domestik yang lain,” tambahnya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Cocoaland, Bryan Lee Chee Kong berkata, prestasi kukuh Cocoaland untuk tahun kewangan ini dan peningkatan permintaan pengguna untuk makanan berbungkus mencerminkan peluang untuk berkembang lebih jauh.

“Kami akan memanfaatkan inovasi, pembangunan produk baharu dan keupayaan pengurusan jenama F&NHB untuk memaksimumkan potensi jenama sedia ada kami dan membangunkan jenama baharu,” katanya. 

Cocoaland ialah pengeluar gula-gula kenyal terbesar di Malaysia dengan Lot 100 sebagai jenama utama syarikat. 

Ia juga merupakan pengeluar kontrak yang sudah sekian lama beroperasi untuk para pelanggan farmaseutikal tempatan dan multinasional. 

Pada masa ini Cocoaland masih lagi sebuah syarikat yang kecil bagi kategori konfeksi, gula-gula, biskut dan snek savouri yang bernilai RM4.2 bilion di Malaysia.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.