PETALING JAYA: CTOS Data Systems Sdn. Bhd., anak syarikat milikan penuh CTOS Digital Berhad, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan iBilik.com iaitu penyedia tempat penginapan dalam talian bagi penyewaan bilik, rumah inap dan sewaan jangka pendek.
MoU itu akan memudahkan proses penapisan tuan rumah dan penyewa yang sah dengan mengintegrasikan beberapa produk CTOS ke dalam platform iBilik.com seperti CTOS eKYC penyelesaian suai tugas digital, laporan CTOS dan pemeriksaan penyewa CTOS.
Menurut CTOS, kerjasama itu juga dapat melihat iBilik.com menyumbang sejarah pembayaran penyewa kepada CTOS untuk mempamerkan sikap pembayaran segera yang lebih baik dan membantu meminimumkan isu fail nipis.
“Dengan sebahagian besar penyewa iBilik.com terdiri daripada pelajar dan penyewa muda, rekod pembayaran sewa yang positif dapat membantu mereka membina sejarah kredit untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kredit,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Erick Hamburger berkata, perkongsian tersebut memberi sekuriti tambahan yang amat diperlukan oleh para penyewa dan tuan rumah.
Kata beliau, daripada perspektif yang lebih besar, kerjasama itu juga memberi pengguna satu laluan baharu untuk meningkatkan profail kredit dan seterusnya dapat mengurangkan bilangan warga Malaysia yang bergelut untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan disebabkan kekurangan sejarah kredit.
“Di CTOS, kami sentiasa mencari jalan baru untuk mendemonstrasikan sikap kewangan yang bertanggungjawab supaya peminjam dapat memberikan pinjaman kredit kepada lebih ramai pengguna dengan yakin,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif iBilik.com, Seng Hee Lee berkata, untuk menjadi pilihan utama pelanggan, syarikat sentiasa membuat pembaharuan untuk mentakrifkan semula mutu dalam industri.
Kata beliau, dengan memastikan proses penyewaan adalah cepat, mudah dan lebih selamat dengan penyertaan servis CTOS, syarikat bukan sahaja boleh berharap untuk menyediakan khidmat kepada tuan rumah dan
penyewa.
“Malah juga kepada mereka yang sebelum ini enggan untuk menyewakan hartanah mereka disebabkan risiko-risiko yang berkaitan. Dengan kerjasama ini, lot kami membolehkan sistem pengurusan sewa dari awal hingga akhir menjadi lebih
lancar,” katanya. – UTUSAN










