PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM4.73 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2022, naik 23.2 peratus tahun ke tahun.
Ia bersamaan pendapatan teras sesaham (EPS) sebanyak 45.6 sen dengan pulangan teras tahunan atas purata ekuiti (ROE) meningkat kepada 10.4 peratus daripada 9.0% yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
CIMB berkata, prestasi kukuh itu didorong oleh pendapatan operasi yang lebih tinggi, peningkatan kos yang terkawal serta peruntukan yang lebih rendah meliputi pasaran utama.
Katanya, pendapatan operasi teras bagi tempoh yang sama meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM14.62 bilion, dengan pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) sebanyak 6.8 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh dan peningkatan dalam margin faedah bersih (NIM) di Malaysia dan Singapura.
“Pendapatan bukan faedah teras (NOII) juga pulih, berkembang sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun kepada RM3.49 bilion didorong oleh pendapatan fi dan komisen yang lebih kukuh serta pemulihan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang lebih tinggi.
“Jumlah momentum pertumbuhan pinjaman kasar kekal meningkat pada sembilan peratus tahun ke tahun didorong oleh permintaan kukuh merentasi pasaran dan segmen utama seiring dengan pertumbuhan ekonomi serantau selepas pandemik.
“Walau bagaimanapun, pertumbuhan deposit agak lemah, berkembang sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun apabila perbelanjaan meningkat daripada pembukaan semula ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pendapatan operasi yang kukuh didorong oleh pertumbuhan pinjaman merentasi semua perniagaan dan pasaran, disiplin kos yang berterusan dan peruntukan yang lebih rendah.
Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dalam ekonomi serantau yang mereka beroperasi, serta momentum positif daripada inisiatif yang dilaksanakan di bawah pelan strategik Forward23+ dalam membentuk semula portfolio syarikat dan membuat pelaburan tertumpu dalam segmen yang menguntungkan.
“Baru-baru ini, kami mengumumkan pencapaian penting untuk memajukan cita-cita digital dan kemampanan kami.
“Pada bulan Ogos, kami memperkenalkan aplikasi perbankan mudah alih generasi akan datang kami di Malaysia, CIMB OCTO yang menyediakan pengalaman pelanggan yang diperibadikan dan bersedia untuk masa hadapan.
“Aplikasi itu dalam versi awal sementara kami mengambil pendekatan kolaboratif dan menggabungkan maklum balas pelanggan, kami menjangkakan untuk melancarkan ciri penuh CIMB OCTO menjelang pertengahan 2023,” katanya. – UTUSAN










