Bursa Malaysia,London Stock Exchange perluas kerjasama 

Bursa Malaysia, London Stock Exchange perluas kerjasama 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan London Stock Exchange Group (LSEG) untuk memperluaskan kerjasama  Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)  dan meneroka peluang baharu.

Bursa Malaysia dalam kenyataan berkata, melalui MoU tersebut, Bursa Malaysia dan FTSE Russell, penyedia indeks berbilang aset global dan penanda aras LSEG akan memperluaskan liputan skor ESG untuk memasukkan semua Syarikat Senaraian Awam (PLC) yang disenaraikan di Pasaran Utama dan ACE.

Bursa Malaysia berkata, skor ESG hanya tersedia untuk PLC pada masa kini merupakan sebahagian daripada indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS (FBM EMAS) yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada jumlah PLC Malaysia.

Jelasnya, liputan yang diperluaskan ini akan membolehkan lebih banyak PLC mengukur prestasi ESG mereka dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, MoU itu menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Bursa Malaysia untuk memudahkan pendedahan ESG yang lebih berkualiti dalam kalangan PLC Malaysia.

“Ini selaras dengan aspirasi Bursa untuk mengangkat mereka sebagai peneraju serantau dalam ruang ESG.

“Kami percaya MoU ini akan menghasilkan peningkatan prestasi dan kedudukan PLC kami, serta minat pelabur yang mampan dalam pasaran modal Bursa Malaysia yang memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan, Kewangan Mampan dan Pelaburan LSEG, Cornelia Andersson berkata,  perjanjian dengan rakan kongsi jangka panjang, Bursa Malaysia tersebut akan menghasilkan peningkatan ketara dalam data dan analitik ESG yang tersedia pada syarikat tersenarai di Malaysia.

“Kami juga sedang meneroka pembangunan penyelesaian pelaporan korporat ESG untuk meningkatkan pendedahan risiko dan peluang berkaitan iklim untuk pelabur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN