KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan pembiayaan kira-kira RM100 juta melalui perjanjian kerjasama dengan Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. untuk skim ‘Pembiayaan Peribadi bagi tujuan Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah’ dalam tempoh setahun.
Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd. Rashid berkata, skim bertujuan menggalakkan golongan muda untuk menunaikan ibadah haji dan umrah itu menyasarkan menerima sebanyak 1,500 permohonan dalam tempoh setahun.
Katanya, skim pembiayaan peribadi itu disediakan khas untuk memberi peluang kepada kakitangan kerajaan yang mempunyai keupayaan membayar ansuran bulanan secara berstruktur.
“Mereka boleh mendapatkan pembiayaan di bawah skim Islamik BSN MyRinggit-i dengan minimum RM10,000 sehingga RM200,000 dengan tempoh minimum dua hingga 10 tahun.
“Pembiayaan yang ditawarkan adalah untuk bayaran pakej ibadah serta duit perbelanjaan sewaktu mengerjakan ibadah. BSN adalah satu-satunya bank yang menawarkan pembiayaan peribadi bagi tujuan haji, umrah dan ziarah dengan kadar yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili BSN dalam majlis menandatangani perjanjian tersebut bersama Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel and
Tours, Ida Riswana Idris di sini, semalam.
Mujibburrahman berkata, sempena pelancaran tersebut, pelanggan yang memohon sebelum 31 Disember ini berpeluang menikmati kadar faedah menarik serendah 2.52 peratus, tertakluk terma dan syarat.
Sementara itu, Ida Riswana berkata, penawaran pakej tersebut di bawah konsep Murabahah Tawarruq dengan bayaran bulanan serendah RM151 selama 36 bulan.
“Pakej pembiayaan ini membolehkan mereka yang layak di bawah syarak iaitu di bawah hukum istito’ah untuk pergi umrah atau haji dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh.
“Semua pembiayaan pakej umrah dan haji disaran dilindungi oleh skim Takaful PruBSN bagi jaminan pelunasan penuh pembiayaan pakej umrah ini,” ujarnya.
Tambahnya, sempena pelancaran kerjasama tersebut, Andalusia Travel and Tours menawarkan diskaun sebanyak RM200 seorang kepada jemaah umrah yang memohon dan mendapat kelulusan pembiayaan BSN sebelum 31 Disember ini. – UTUSAN










